MIRI: Seorang lelaki berusia 46 tahun didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas susulan kejadian mengamuk sambil memegang parang di tempat awam.
Lelaki tempatan itu dijatuhkan hukuman pada 17 November lalu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, selain berdepan hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam pada 24 Oktober lalu di hadapan sebuah premis.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang bertindak agresif dan mengamuk sambil memegang sebilah parang sehingga mencetuskan suasana cemas di kawasan berkenaan.
“Tindakan lelaki itu menyebabkan orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan berkata, sepasukan anggota polis segera bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat sebelum berjaya mengawal keadaan dan menahan lelaki terbabit.
Susulan kejadian itu kata beliau, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 selepas tertuduh mengaku bersalah, dengan hukuman penjara sebagai ganti sekiranya denda tidak dijelaskan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Farhan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau turut menggesa masyarakat agar segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri atau balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera.
Katanya, kerjasama orang ramai amat penting dalam membantu polis mencegah kejadian jenayah serta memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.


