KUCHING: Pengamal media dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengesan sebarang masalah kesihatan lebih awal, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Menurutnya, kesedaran menjalani pemeriksaan kesihatan penting memandangkan faktor usia yang semakin meningkat.

“Umur kita tidak kekal muda selamanya, jadi, jangan tunggu sehingga tahap kesihatan anda menjadi teruk kemudian baharu bertindak.
“Tidak ada ahli politik yang mahu menasihati anda mengenai hal ini. Saya pesan demi keprihatinan dan kasih sayang terhadap anda semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Media Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Hotel Imperial di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng menggesa para media untuk memanfaatkan baucar pemeriksaan darah bernilai RM95 yang diagihkan semasa program berkenaan.
Pakej itu merangkumi pemeriksaan paras gula dalam darah, kolesterol, fungsi buah pinggang dan hati serta kiraan darah lengkap.
“Baucar berkenaan sah sehingga 15 Disember 2026 dan saya harap pengamal media boleh jadualkan pemeriksaan kesihatan pada masa yang sesuai,” katanya.
Tambahnya, kesihatan dan kesejahteraan pengamal media perlu diberi perhatian memandangkan mereka banyak menghabiskan masa serta tenaga untuk membuat liputan dan menyampaikan berita kepada orang ramai.
“Justeru, anda semua perlu membuat janji temu bagi pemeriksaan kesihatan meskipun sibuk menjalankan tugas menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.



