KUCHING: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat dalam pengambilan dadah secara berulang.
Zamali Hassan, 63, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noorhisyam Mohd Jaafar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di mempunyai satu sabitan terdahulu atas kesalahan di bawah Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bertarikh pada 4 Oktober 2018.
Pada kali ini, dia dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1Ma) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (2) Akta yang sama, kerana memasukkan dadah terlarang jenis amphetamine dan methamphetamine secara berulang.
Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 2.45 pagi, 28 April 2025.
Mahkamah memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, semasa kejadian pihak polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang lalu membawanya ke balai polis untuk siasatan.
Hasil ujian pertama saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.


