ARTIKEL

JAWAB SOALAN: Abdul Karim menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media di Kuching, pagi tadi.

Kes penyeludupan dadah TUDM cetus kebimbangan – Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dakwaan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyalahgunakan kemudahan ketenteraan untuk menyeludup dadah perlu disiasat secara menyeluruh bagi memastikan integriti institusi pertahanan negara terus terpelihara.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu amat mengecewakan kerana membabitkan individu yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keselamatan negara.

Beliau berkata, penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan TUDM susulan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di China, menimbulkan persoalan mengenai integriti institusi keselamatan negara.

Menurut Abdul Karim, dakwaan penggunaan aset ketenteraan termasuk pesawat untuk menyeludup dadah dalam kuantiti besar perlu dipandang serius kerana boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan memastikan individu yang diberi tanggungjawab menjaga keselamatan negara mempunyai integriti tinggi serta tidak menyalahgunakan kemudahan strategik kerajaan.

Beliau turut menegaskan siasatan menyeluruh perlu dijalankan dan tindakan undang-undang tegas diambil terhadap mana-mana individu yang terbukti bersalah tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Mengulas kemungkinan Sarawak dijadikan laluan transit penyeludupan dadah, Abdul Karim berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana bekalan yang melalui sesuatu kawasan berkemungkinan turut memasuki pasaran tempatan.

Katanya, dakwaan bahawa dadah yang memasuki Sarawak, khususnya melalui Miri, hanya untuk tujuan transit perlu diteliti kerana destinasi sebenar serta kemungkinan pengedarannya dalam pasaran tempatan masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, dalam kes yang sedang disiasat, dadah berkenaan dipercayai dibawa ke Sabah, manakala kemungkinan penghantaran seterusnya ke Filipina masih belum disahkan.

Abdul Karim turut menekankan kepentingan sistem pentadbiran dan pengawasan berkesan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa serta kemudahan kerajaan.

Katanya, usaha membanteras penyeludupan dadah bukan sekadar melibatkan penahanan suspek, malah perlu disertai langkah memperkukuh integriti individu yang diberi amanah menjaga keselamatan negara.

Pada 17 November lalu, polis menahan 11 individu, termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam, yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah menggunakan kemudahan ketenteraan.

Operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan itu turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta. Sabah dipercayai dijadikan laluan transit sebelum bekalan berkenaan dihantar ke luar negara.

BERITA LAIN

Penagih tegar dipenjara tujuh tahun

KUCHING: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat dalam pengambilan dadah secara berulang. Zamali Hassan, 63, mengaku

BERITA TERBARU

Penagih tegar dipenjara tujuh tahun

KUCHING: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat dalam pengambilan dadah secara berulang. Zamali Hassan, 63, mengaku