BAU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menerima peruntukan pembangunan keseluruhan RM1.3 bilion setakat ini, termasuk RM74 juta bagi menaik taraf Jalan Simpang Bau/Lundu ke Pekan Bau (Fasa 1) sepanjang 3.65 kilometer (km).
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, peruntukan itu bertujuan memacu pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk penduduk.

Menurutnya, peruntukan berkenaan memberi manfaat kepada kira-kira 41,781 penduduk daripada 10,181 ketua isi rumah di 51 kampung, tidak termasuk kawasan taman perumahan.
“Projek menaik taraf jalan berkenaan melibatkan pelebaran jalan sedia ada daripada satu lorong kepada jalan berkembar. Bagaimanapun, pelaksanaannya masih belum selesai berikutan masalah melibatkan kontraktor.
“Selain itu, projek menaik taraf Jalan Musi–Buso sepanjang 7.4 km dengan kos RM73 juta dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar Pembangunan Strategik Daerah Bau bagi kawasan DUN Tasik Biru di Bidayuh Cultural Centre (BCC), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Henry berkata, pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin bernilai RM43.66 juta dijangka siap pada Disember 2027 sebelum mula beroperasi pada 2028.
Katanya, kemudahan itu dijangka merancakkan ekonomi penduduk, khususnya di kawasan Jagoi, menerusi peningkatan aktiviti perdagangan dan pergerakan rentas sempadan.
Kerajaan turut memperuntukkan RM55 juta bagi membina jalan baharu sepanjang 3 km, termasuk sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Suba Buan dan Kampung Suba ke Bandar Bau bagi menangani masalah banjir.
Menyentuh hala tuju pembangunan kawasan itu, Henry berkata, tumpuan kini diberikan kepada usaha memastikan projek yang telah siap terus memberi manfaat kepada rakyat, manakala projek yang masih dalam pembinaan dapat diselesaikan mengikut perancangan.
Beliau yakin Rangka Tindakan Bau (Bau Blueprint) yang dirangka sejak 2016 bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, komuniti perniagaan dan penjawat awam berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran menjelang 2030.

