SERIAN: Agensi kerajaan, khususnya jabatan teknikal, diarahkan menyelesaikan segera aduan rakyat berkaitan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik bagi mengelakkan masalah berlarutan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pegawai kanan kerajaan perlu turun padang untuk mengenal pasti punca masalah dan memastikan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau menegaskan, faktor seperti perubahan iklim, tanah runtuh dan kerosakan paip tidak boleh dijadikan alasan untuk melengahkan penyelesaian masalah yang membebankan rakyat.
“Saya telah mengarahkan agensi teknikal supaya apa-apa sahaja masalah yang berlaku di lapangan diselesaikan dengan segera.
“Kita tidak menafikan ada masalah yang berpunca daripada perubahan iklim, seperti paip pecah akibat tanah runtuh, tetapi perkara itu tidak boleh dijadikan alasan.
“Apa juga puncanya, sama ada hakisan tanah atau faktor lain, kita mesti menyelesaikannya. Tiada alasan untuk kita tidak menangani masalah yang berlaku di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan praperasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Pusat Konvensyen Serian, di sini, hari ini.
Menurutnya, program SKS berperanan sebagai pusat sehenti yang membolehkan masyarakat berhubung secara langsung dengan agensi kerajaan serta mengemukakan aduan berkaitan perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan turun padang perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya bergantung kepada program seumpama itu untuk mendapatkan maklum balas masyarakat.

Pegawai kerajaan juga tidak seharusnya menunggu sehingga rakyat menghadiri program rasmi atau mengemukakan aduan sebelum mengambil tindakan terhadap masalah yang dihadapi.
“Saya sentiasa mengingatkan pegawai bahawa rakyat mahu merasai sendiri manfaat pembangunan, bukannya sekadar melihat apa yang dirancang oleh kerajaan.
“Proses tetap proses, tetapi perkara paling penting ialah rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada perkhidmatan, perancangan dan kemudahan infrastruktur yang kita sediakan,” jelasnya.
Beliau berkata, lawatan ke kawasan terjejas membolehkan pegawai kerajaan menilai keadaan sebenar dan mengenal pasti masalah yang boleh diselesaikan segera tanpa perlu menunggu tindakan susulan berpanjangan.



