ARTIKEL

BERGAMBAR… Rubiah (tengah) bersama kakitangan pengurusan MARA pada majlis pembukaan pejabat pentadbiran KPTMSB

KPTM Sarawak kenal pasti tiga program diploma

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Tiga program diploma dikenal pasti untuk ditawarkan di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sarawak bagi memenuhi keperluan pendidikan dan tenaga kerja negeri ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, program berkenaan ialah Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Perniagaan Digital dan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Menurutnya, cadangan itu hasil perbincangan antara KPTM, Kerajaan Sarawak, Yayasan Sarawak dan pihak berkuasa pendidikan berkaitan.

“Saya sentiasa mengingatkan pihak pengurusan KPTM supaya memastikan kursus yang ditawarkan di Sarawak benar-benar bersesuaian dengan keperluan negeri ini,” katanya ketika merasmikan pembukaan pejabat pentadbiran Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB), hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan selaras dengan usaha Sarawak membangunkan tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong transformasi ekonomi negeri.

Dalam perkembangan sama, Rubiah berkata, persiapan pembukaan kampus sementara KPTM Sarawak sedang dilaksanakan selepas premis berhampiran pejabat pentadbiran baharu itu disewa.

Bagaimanapun, katanya, operasi kampus sementara berkenaan masih memerlukan kelulusan Kementerian Pendidikan dan MARA.

“Saya percaya proses itu sudah berada pada peringkat akhir dan kita akan merealisasikan kampus sementara itu dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, pembangunan KPTM Sarawak akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pembukaan pejabat pentadbiran, diikuti kampus sementara dan seterusnya kampus tetap.

Rubiah turut memaklumkan kemasukan pelajar dari Sarawak ke KPTM meningkat daripada 100 kepada lebih 300 orang.

Katanya, pelajar berkenaan kini mengikuti pengajian di kampus KPTM di Semenanjung Malaysia sementara persiapan pembukaan kampus di Sarawak diteruskan.

“KPTM turut menyediakan tiket penerbangan kepada pelajar dari Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung, manakala perbincangan dengan Yayasan Sarawak sedang dijalankan bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada skim bantuan pelajar lain,” katanya.

Mengulas peranan institusi itu, Rubiah menegaskan penubuhan KPTM Sarawak bukan bertujuan bersaing dengan institusi pendidikan sedia ada seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebaliknya melengkapi peluang pendidikan tinggi di negeri ini.

Beliau berharap penubuhan institusi itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada lepasan sekolah, khususnya dari kawasan luar bandar, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

BERITA LAIN

SMK Bukit Goram bernilai RM96.8 juta dibin

KAPIT: Kapit bakal mempunyai sebuah sekolah menengah baharu bernilai RM96.8 juta yang mampu menampung 1,115 murid, dengan projek pembinaan SMK Bukit Goram dijadualkan siap pada

BERITA TERBARU

SMK Bukit Goram bernilai RM96.8 juta dibin

KAPIT: Kapit bakal mempunyai sebuah sekolah menengah baharu bernilai RM96.8 juta yang mampu menampung 1,115 murid, dengan projek pembinaan SMK Bukit Goram dijadualkan siap pada