KUCHING: Peminat muzik bakal disajikan dengan dua pengalaman hiburan berbeza menerusi Soul City – An R&B Night dan Festival Hyper Freedom yang berlangsung selama tiga hari di Kuching Waterfront Esplanade, dari 4 hingga 6 Disember ini.
Menghimpunkan artis Malaysia, Indonesia serta DJ antarabangsa, kedua-dua festival itu menawarkan persembahan muzik R&B dan pop sebelum beralih kepada irama muzik elektronik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran festival seumpama itu membuka peluang kepada bakat tempatan untuk menimba pengalaman serta bekerjasama dengan penggiat industri antarabangsa.
Menurutnya, pendedahan itu penting bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, khususnya dalam aspek produksi muzik, penggunaan peralatan dan perkembangan teknologi industri hiburan.
“Kita mahu Sarawak bukan sekadar menjadi penonton. Kita mahu menjadi peserta, pencipta dan peneraju industri kreatif pada masa akan datang,” katanya pada sidang media Soul City – An R&B Night dan Festival Hyper Freedom di sini, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran acara berskala besar turut berpotensi merancakkan ekonomi tempatan, khususnya sektor perhotelan, makanan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan.
Kehadiran pengunjung dari luar Sarawak, termasuk Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Kalimantan Barat, juga dijangka merancakkan sektor pelancongan serta memperkenalkan budaya dan produk tempatan.
Snowdan turut berharap festival itu dapat memperluas peluang kepada bakat tempatan, termasuk DJ, pemuzik dan tenaga kerja produksi untuk mengembangkan kemahiran serta meningkatkan standard industri kreatif Sarawak.
Soul City – An R&B Night yang berlangsung pada 4 Disember bakal menampilkan barisan artis terkenal, termasuk Cakra Khan dari Indonesia, Ruffedge, Lah Ahmad, Innuendo dan The Fabulous Cats.
Cakra Khan dijadual membuat penampilan khas, manakala gabungan Ruffedge dan Lah Ahmad bakal menghidupkan kembali lagu-lagu popular yang mewarnai perjalanan muzik R&B tempatan.
Persembahan malam itu turut mendapat sentuhan Dato’ Acis selaku pengarah muzik dengan susunan persembahan yang menggabungkan elemen nostalgia dan muzik kontemporari.
Sementara itu, Festival Hyper Freedom pada 5 dan 6 Disember bakal membawa peminat menikmati muzik elektronik menerusi persembahan Showtek sebagai artis utama.
Festival itu turut menampilkan barisan DJ dan penerbit muzik elektronik antarabangsa serta serantau, termasuk Code Black, Wildstylez, Ran-D, Garavel, Bayka, Hannah X, SUAE, Technikore, Verzan, YLII dan N52.
Turut menyertai festival berkenaan ialah +BLINK, Crossfinger, Denka, MYMAX, Muffin, MILE, Rachel B., Suicideboy dan TINO.
Dengan gabungan genre hardstyle, hardcore dan EDM, festival itu menawarkan pengalaman muzik elektronik kepada peminat di Borneo.
Kedua-dua acara berkenaan dijangka menjadi antara tarikan hiburan utama di Kuching pada Disember ini dengan mengetengahkan kepelbagaian genre muzik dalam satu lokasi.

