KUCHING: Persatuan Buddha Kuching Sakya Jamtse menerima geran RM8,500 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membeli dan menaik taraf kelengkapan rumah ibadat persatuan itu.
Menurut kenyataan media persatuan berkenaan, geran itu diperoleh hasil bantuan Wilfred Yap ketika beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa.
Sebagai tanda penghargaan, wakil persatuan yang terletak di Premier 101, Jalan Tun Jugah itu mengadakan kunjungan ke Pusat Khidmat Wilfred Yap hari ini.
Peruntukan berkenaan akan digunakan untuk mendapatkan dan menaik taraf kelengkapan serta kemudahan ibadat bagi meningkatkan keselesaan ahli persatuan dan penganut ketika menjalankan aktiviti keagamaan.
Sementara itu, Wilfred Yap menghargai kunjungan berkenaan dan menegaskan komitmennya untuk terus membantu organisasi keagamaan di kawasan Kota Sentosa tanpa mengira latar belakang agama.
Beliau berkata, sokongan terhadap institusi keagamaan penting dalam membina masyarakat yang harmoni, prihatin dan inklusif.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak menerusi UNIFOR mengiktiraf peranan organisasi keagamaan bukan Islam dalam memelihara tradisi keagamaan, menerapkan nilai moral dan mengukuhkan hubungan masyarakat.
“Pendekatan UNIFOR mencerminkan komitmen Sarawak dalam memastikan setiap komuniti agama dihormati dan diberi peluang mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan penuh bermaruah,” katanya.
Beliau berkata, bantuan kewangan menerusi UNIFOR turut meliputi pembinaan, pengubahsuaian, penaiktarafan dan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam, termasuk pembelian kemudahan serta peralatan keagamaan.
“Di Sarawak, kita percaya kepelbagaian merupakan kekuatan kita. Saling menghormati kepercayaan, menyokong institusi keagamaan dan memastikan setiap komuniti mendapat pertimbangan sewajarnya penting untuk mengekalkan kehidupan bersama secara aman.
“Inilah cara Sarawak – Sarawak First, dengan perpaduan, sikap saling menghormati dan keterangkuman sebagai terasnya,” katanya lagi.
Beliau turut menggalakkan organisasi keagamaan supaya terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.


