KAPIT: Kapit bakal mempunyai sebuah sekolah menengah baharu bernilai RM96.8 juta yang mampu menampung 1,115 murid, dengan projek pembinaan SMK Bukit Goram dijadualkan siap pada 16 Mei 2030.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan sekolah dilengkapi 36 bilik darjah itu bertujuan meningkatkan akses pendidikan menengah serta menyediakan kemudahan pembelajaran lebih selesa kepada penduduk setempat.
Menurutnya, sekolah berkenaan turut dilengkapi kemudahan khusus untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) bagi memastikan akses pendidikan lebih menyeluruh.
“SMK Bukit Goram bakal menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa, selamat dan kondusif bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran berteraskan pendidikan abad ke-21.
“Saya berharap pembinaan sekolah ini dapat memperluas akses pendidikan menengah serta menyediakan kemudahan lebih baik untuk anak-anak di Kapit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah Projek Pembinaan Baharu SMK Bukit Goram di tapak projek berkenaan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, projek itu dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggunakan kaedah reka dan bina.
Menurutnya, pembinaan sekolah baharu itu turut mengambil kira peningkatan jumlah murid serta keperluan mengurangkan kepadatan di sekolah berhampiran susulan pertambahan penduduk dan penghijrahan masyarakat luar bandar ke kawasan yang mempunyai jaringan jalan raya lebih baik.
Selain itu, penyediaan kemudahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Menengah membolehkan MBPK meneruskan persekolahan di Kapit tanpa perlu berpindah ke bandar lain seperti Sibu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan perancangan teliti, pengawasan berkesan dan kerjasama semua pihak bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar serta disiapkan mengikut jadual.
Katanya, projek itu dijangka menyokong usaha KPM membangunkan potensi generasi muda melalui penyediaan prasarana pendidikan berkualiti.
Projek yang dilaksanakan oleh Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn. Bhd. itu menyediakan kemudahan untuk 1,080 murid aliran perdana dan 35 MBPK.
Selain 36 bilik darjah, sekolah berkenaan turut dilengkapi bangunan khas PPKI Menengah serta kemudahan sokongan mengikut piawaian ditetapkan.
Sekolah itu dibina di atas tapak seluas 7.189 hektar di Lot 770, Blok 13, Daerah Tanah Menuan, kira-kira tiga kilometer dari Pekan Kapit dan berhampiran Skim Penempatan Semula (SPS) Kampung Kemarau.
Lokasinya yang terletak kira-kira 500 meter dari persimpangan Jalan Ulu Sungai Kapit dijangka memudahkan akses pendidikan penduduk, khususnya keluarga yang sebelum ini perlu menempuh perjalanan jauh untuk menghantar anak ke sekolah.

