ADA sesuatu yang sukar dijelaskan apabila lagu-lagu yang pernah menemani zaman remaja akhirnya berpeluang didengar secara langsung, bukan lagi sekadar melalui fon telinga, cakera padat atau pembesar suara komputer.
Semalam, saya berlepas dari Kuching menuju Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang. Perjalanan kali ini bukan atas urusan kerja atau untuk menghadiri acara rasmi, sebaliknya bagi memenuhi satu keinginan yang sudah tersimpan hampir dua dekad.
Malam ini, saya bakal menyaksikan persembahan My Chemical Romance (MCR) di Stadium TM Nasional, Bukit Jalil manakala pada malam esok pula giliran Simple Plan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Kedua-dua kumpulan ini cukup sinonim dengan generasi milenial, khususnya mereka yang melalui zaman persekolahan dan awal kedewasaan sekitar 2005 hingga 2010.
Bagi sesetengah orang, ini mungkin sekadar dua konsert dalam tempoh 48 jam. Namun, bagi saya, pengalaman ini ibarat membeli tiket untuk kembali sebentar ke zaman ketika kehidupan belum terlalu sarat dengan tanggungjawab.
Ketika itu, dunia muzik cukup berbeza. Kita mengenali lagu baharu melalui radio, televisyen, cakera padat atau perkongsian fail MP3. Ada yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber semata-mata untuk memuat turun lagu kegemaran.
Malah, platform seperti Friendster dan MySpace pernah menjadi sebahagian daripada budaya anak muda, termasuk sebagai tempat berkongsi minat terhadap kumpulan muzik yang dianggap mewakili jiwa masing-masing.
Bayangkan, dahulu kita mendengar lagu Welcome to the Black Parade, Helena, I’m Not Okay (I Promise) dan I Don’t Love You sambil cuba memahami dunia yang kadangkala terasa tidak menyebelahi kita.
MCR yang ditubuhkan di New Jersey, Amerika Syarikat, pada 2001 bukan sekadar mencipta lagu rock. Kumpulan yang diterajui Gerard Way itu membentuk identiti tersendiri melalui muzik yang sarat dengan emosi, kehilangan, pemberontakan dan pencarian jati diri.
Album The Black Parade yang diterbitkan pada 2006 menjadi antara karya paling berpengaruh dalam budaya emo dan rock alternatif. Menariknya, album yang mengangkat kisah perjalanan seorang pesakit menuju kematian itu kini genap 20 tahun sejak diterbitkan.
Kumpulan berkenaan pernah mengumumkan perpisahan pada 2013 sebelum kembali bersatu pada 2019. Justeru, peluang menyaksikan mereka beraksi di Malaysia selepas hampir 19 tahun sejak persembahan terdahulu pada 2007 mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Saya membayangkan suasana apabila ribuan peminat menyanyikan lagu Welcome to the Black Parade, Helena dan I Don’t Love You secara serentak. Lagu yang suatu ketika dahulu hanya dimainkan di bilik tidur bakal bergema di sebuah stadium.
Keesokan harinya, suasana dijangka berubah daripada persembahan MCR yang gelap dan dramatik kepada muzik pop punk Simple Plan yang lebih ceria dan bertenaga.
Kumpulan dari Montreal, Kanada, itu cukup dikenali menerusi lagu Perfect, Welcome to My Life, Untitled (How Could This Happen to Me?) dan Shut Up!
Ditubuhkan pada 1999, Simple Plan mencipta kejayaan menerusi album sulung No Pads, No Helmets… Just Balls pada 2002 sebelum mengukuhkan populariti melalui album Still Not Getting Any…pada 2004.
Lagu mereka banyak menyentuh konflik keluarga, tekanan hidup, persahabatan dan perasaan tidak difahami. Barangkali itulah sebabnya muzik Simple Plan begitu dekat dengan jiwa remaja ketika itu.
Menariknya, kedua-dua kumpulan ini mengetengahkan pendekatan muzik yang berbeza, namun mempunyai satu persamaan penting, iaitu keberanian menyuarakan perasaan generasi muda yang sering sukar diungkapkan melalui kata-kata biasa.
Saya percaya kedua-dua konsert ini bakal menghimpunkan ramai peminat milenial yang kini sudah memasuki usia 30-an dan 40-an.
Dahulu, kita mungkin mendengar lagu mereka ketika menyiapkan kerja sekolah, menghadapi peperiksaan atau melalui pengalaman cinta pertama. Hari ini, sebahagian daripada kita sudah berkeluarga, membina kerjaya dan memikul pelbagai komitmen.
Ada yang mungkin terpaksa mengambil cuti, mengatur jadual kerja atau meninggalkan kesibukan harian untuk menghadiri konsert yang selama ini hanya mampu dibayangkan.
Namun, apabila muzik yang sama dimainkan, perasaan itu barangkali masih tidak banyak berubah.
Hakikatnya, perjalanan dari Kuching ke Kuala Lumpur kali ini bukan sekadar untuk menyaksikan persembahan dua kumpulan antarabangsa.
Sebaliknya, saya mahu merasai sendiri bagaimana muzik mampu menyatukan ribuan manusia yang mungkin tidak saling mengenali, tetapi berkongsi kenangan daripada zaman yang sama.
Mungkin suara tidak lagi sehebat ketika remaja. Mungkin tenaga juga tidak seperti dahulu.
Namun, keterujaan untuk menyanyikan lagu kegemaran bersama-sama ribuan peminat pasti sukar digambarkan.
Konsert seperti ini juga membuktikan bahawa muzik tidak mengenal batas usia. Lagu yang pernah dianggap sebagai luahan pemberontakan remaja akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah peribadi seseorang apabila meningkat dewasa.
Ada sesuatu yang indah apabila menyedari bahawa lagu-lagu yang pernah kita dengar ketika berusia belasan tahun masih mampu menyentuh hati selepas hampir dua dekad.
Akhirnya, dua malam ini bukan semata-mata tentang MCR atau Simple Plan.
Sebaliknya, pengalaman ini berkisar tentang masa yang berlalu, kenangan yang kekal dan peluang untuk bertemu semula dengan sebahagian daripada diri kita ketika masih muda.



