PELIBATAN dalam sukan yang asalnya tanpa sengaja, akhirnya membuka ruang dan peluang kepada Husna Qarirah Hamka untuk mencipta nama dalam sukan sofbol. Sukan ini banyak mengajarnya tentang erti disiplin, kekuatan mental dan fizikal selain sentiasa berfikiran positif sama ada di dalam atau di luar padang.
1. Ceritakan sedikit tentang diri anda?
Saya Husna Qarirah Hamka Hussnaddin, berumur 21 tahun, berasal dari Bintulu dan kini menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan Perkhidmatan Ekonomi. Saya anak kedua daripada empat beradik, dan saya seorang yang gemar mencuba perkara baharu, bersemangat tinggi dan meminati bidang sukan sejak kecil.
2. Boleh kongsikan bagaimana pelibatan awal anda dalam sukan sofbol?
Pelibatan saya bermula secara tidak sengaja sewaktu darjah empat di Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Bintulu. Apabila pihak sekolah mengadakan sesi pemilihan terbuka pasukan sofbol, saya memberikan diri untuk mencuba atas dorongan rakan dan persaan ingin tahu, walaupun langsung tiada asas atau pendedahan mengenai sukan tersebut ketika itu.
3. Siapakah pendorong utama yang menarik minat anda dalam sukan ini?
Pendorong utama saya ialah guru penasihat merangkap jurulatih pasukan sekolah, Cikgu Muhammad Jeffri Muhammad Nasir. Beliau sangat sabar membimbing saya daripada peringkat asas. Melihat kesungguhan saya, beliau sentiasa memberikan kata-kata semangat yang menyuntik keyakinan untuk saya terus mengasah kemahiran tanpa jemu.
4. Apakah posisi anda dalam sukan ini?
Saya beraksi di posisi penjaga pangkaian ketiga atau third baseman. Posisi ini sangat mencabar dan dinamik kerana ia merupakan zon tumpuan pukulan deras pihak lawan.
Tugas utama saya ialah mengawal zon tersebut, menyerap bola leret atau ground ball dengan cekap dan membuat balingan pantas ke pangkaian pertama atau first base. Posisi ini memerlukan refleks yang tajam, keberanian serta koordinasi fizikal yang mantap.
5. Apakah yang membuatkan posisi anda itu jadi menyeronokkan?
Keistimewaan posisi third baseman atau hot corner ini terletak pada kepantasan aksi nya. Keupayaan luar biasa hadir apabila refleks pantas saya berjaya meny erap bola deras lalu melepaskan balingan tepat untuk mematikan pergerakan lawan dalam sekelip mata. Lebih bermakna lagi apabila sorakan penonton serta penghargaan rakan sepasukan bergema sebab sahaja zon berbahaya itu berjaya diselamatkan.
6. Memandangkan anda pernah mewakili sekolah, apakah momen atau perlawanan yang paling tidak dapat anda lupakan?
Kenangan paling manis adalah ketika bertanding di pusingan akhir Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Bintulu pada tahun 2022 lalu. Walaupun hampir tewas selepas ketinggalan mata pada pusingan terakhir, semangat pantang menyerah serta sokongan padu daripada jurulatih dan rakan sepasukan membolehkan kami melakukan kebangkitan dramatik untuk merangkul gelaran naib johan.
7. Menceburi sukan ini pada usia yang muda, apakah cabaran utama yang pernah anda hadapi sepanjang sesi latihan?
Cabaran utama saya adalah membahagikan masa antara pelajaran dengan latihan fizikal yang intensif, di samping berdepan dengan cuaca panas terik di padang. Walau bagaimanapun, pengalaman ini mendidik saya tentang pengorbanan, disiplin diri dan kepentingan menjaga kesihatan demi mencapai matlamat tertentu.
8. Bagaimanakah anda mengawal perasaan gementar setiap kali turun ke padang untuk lawan?
Lazimnya, saya akan menarik nafas secara perlahan-lahan untuk menenangkan fikiran. Dalam masa yang sama, melihat wajah rakan sepasukan sentiasa menyedarkan saya bahawa perjuangan ini dipikul bersama-sama, kami menang bersama, dan kalah juga bersama sebagai satu keluarga.
9. Apakah nilai atau pengajaran daripada sukan sofbol yang masih anda amalkan dalam kehidupan sehingga hari ini?
Sofbol mengajar saya nilai disiplin, semangat setia kawan dan sikap tidak mudah mengaku kalah. Saya belajar bahawa kesilapan di padang bukanlah pengakhiran, sebaliknya proses pembelajaran untuk menjadikan saya individu yang lebih matang dan cekal dalam kehidupan.
10. Apakah nasihat yang ingin anda sampaikan kepada pemain yang baru mula berjinak-jinak dalam sukan sofbol?
Jangan pernah takut untuk melakukan kesilapan. Jadikan setiap kegagalan mengangap atau memuluk bola sebagai peluang untuk menjadi pemain yang lebih baik. Sentiasa patuhi arahan jurulatih, hormati rakan sepasukan yang paling penting, nikmatilah setiap detik ketika berada di atas padang.


