KUCHING: Seramai 11 warga China, termasuk seorang wanita, dihantar pulang ke negara asal menaiki penerbangan selepas dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja, Khamis lalu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak memaklumkan, operasi pada 19 November itu membabitkan 10 lelaki dan seorang wanita yang dikategorikan sebagai Orang Yang Dipindahkan (OYD).

Menurut kenyataan jabatan berkenaan, proses penghantaran pulang dilaksanakan dengan diiringi pegawai Depot Imigresen Semuja bersama anggota Unit Iring Kawal serta AMRA daripada Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Kuching.
“Operasi tersebut dirancang dan diselaraskan bagi memastikan pergerakan semua individu terbabit berjalan teratur, khususnya dari aspek keselamatan sepanjang perjalanan ke negara asal,” kata kenyataan itu.
JIM Sarawak menjelaskan, kerjasama antara pegawai depot dan anggota penguat kuasa membolehkan keseluruhan proses pemindahan dilaksanakan dengan selamat serta terkawal.
Dalam pada itu, jabatan berkenaan menegaskan setiap urusan penghantaran pulang warga asing perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
JIM Sarawak turut menekankan kepentingan penyelarasan operasi yang sistematik bagi memastikan setiap proses pemindahan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang.



