SIBU: Sebuah kereta ditemui terjunam dan tenggelam sepenuhnya dalam sebuah parit besar di Jalan Stabau, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada kira-kira 11.22 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi untuk memeriksa kenderaan yang dilaporkan terjunam ke dalam parit berkenaan.
Setibanya di lokasi, anggota bomba terlebih dahulu memakai jaket keselamatan serta tali keselamatan peribadi sebelum menghampiri kenderaan.
“Pemeriksaan dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan tiada individu terperangkap atau berada di dalam kenderaan yang tenggelam itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa di dalam kenderaan terbabit, sekali gus mengesahkan tiada individu yang memerlukan tindakan menyelamat.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut dilakukan bagi memastikan keadaan di sekitar lokasi selamat sebelum operasi ditamatkan.
Operasi ditamatkan selepas tiada mangsa ditemui dan keadaan kenderaan serta kawasan kejadian disahkan tidak lagi memerlukan tindakan lanjut daripada pasukan bomba.



