KUCHING: Hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan tuntutan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan menerusi rundingan tanpa menjejaskan kepentingan kedua-dua pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkara itu penting kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pembahagian hak dan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta kuasa bersama.
Justeru, katanya, hubungan harmoni perlu terus dipelihara walaupun Sarawak terus memperjuangkan pengembalian hak negeri seperti yang termaktub di bawah MA63, Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang negeri.
“Kadang-kadang terdapat dasar dan perundangan yang bercanggah dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan perkara itu yang kita mahu perbetulkan.
“Bagaimanapun, rundingan perlu dilaksanakan secara harmoni tanpa menjejaskan kepentingan Sarawak mahupun nasional. Kita mahu mencari formula terbaik kerana apabila Sarawak maju dan makmur, Kerajaan Persekutuan juga akan menerima manfaat menerusi pulangan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran “Juh Melabur, Anak Sarawak” di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Kuching, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut tentang pembahagian bidang kuasa di bawah Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, Fadillah menegaskan, perkara itu sememangnya termaktub, namun terdapat keadaan tertentu yang memerlukan penelitian bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa seperti bidang maritim.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diperhalusi ialah bidang kuasa maritim yang melibatkan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Maritim Sarawak mempunyai sempadannya sendiri seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan warta yang lama, manakala Kerajaan Persekutuan juga mempunyai haknya.
“Di peringkat antarabangsa, undang-undang maritim hanya mengiktiraf Kerajaan Persekutuan kerana dunia hanya mengiktiraf sebuah negara, iaitu Malaysia.
“Jadi, kita perlu melihat bagaimana perkara ini dapat diuruskan dengan baik kerana walaupun Sarawak berada dalam Malaysia, urusan yang melibatkan dunia antarabangsa perlu melalui Kerajaan Persekutuan. Inilah antara perkara yang perlu dirundingkan bagi memastikan hubungan kedua-dua pihak terus harmoni,” jelasnya.

