KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Beliau juga mengumumkan enam lagi calon DAP bagi kawasan selatan Sarawak pada majlis makan malam penggerakan jentera parti di sebuah restoran di sini, pada Ahad.


Menurut senarai yang diumumkan, Michael Kong Feng Nian yang bertanding di Kota Sentosa pada PRN lalu, kini beralih angin untuk bertanding di kerusi DUN Padungan.
Untuk rekod, Chong pernah menyandang kerusi Kota Sentosa selama tiga penggal berturut-turut menerusi kemenangan pada pilihan raya 2006, 2011 dan 2016 sebelum berpindah ke Padungan pada 2021.


Pada PRN 2021, Chong memenangi kerusi Padungan selepas menewaskan calon SUPP, Datuk Wee Hong Seng yang juga Datuk Bandar Kuching Selatan, manakala Kong tewas kepada Wilfred Yap Yau Sin di Kota Sentosa, sekali gus menyaksikan SUPP merampas kerusi tersebut daripada DAP.
Bagi kerusi DUN Batu Lintang pula, DAP mempertaruhkan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang dijangka berdepan penyandang kerusi berkenaan, See Chee How yang dilaporkan bakal bertanding atas tiket SUPP.


See sebelum ini memenangi kerusi Batu Lintang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2011 dan 2016 selepas DAP memberi laluan kepada parti itu, sebelum mempertahankan kerusi sama atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2021 dengan majoriti 93 undi dalam saingan lima penjuru selepas dipecat daripada PKR.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN Pending sejak 2006, Violet Yong terus diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kawasan tersebut pada PRN kali ini.


Dalam perkembangan sama, DAP turut menampilkan muka baharu di dua kawasan iaitu Jordan Soo Tien Ren di Batu Kitang yang akan berdepan penyandang daripada SUPP, Datuk Ir Lo Khere Chiang, serta Lim Nee Kon di Opar untuk menentang calon SUPP, Billy Sujang.
Bagi kerusi DUN Batu Kawah, Sim Kiat Leng dinamakan sebagai calon DAP untuk mencabar Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian yang dijangka mempertahankan kerusi tersebut.
Berikut merupakan senarai penuh tujuh calon DAP Sarawak yang diumumkan:
N.01 Opar — Lim Nee Kon
N.09 Padungan — Michael Kong Feng Nian
N.10 Pending — Violet Yong
N.11 Batu Lintang — Dr Kelvin Yii Lee Wuen
N.12 Kota Sentosa — Chong Chieng Jen
N.13 Batu Kitang — Jordan Soo Tien Ren
N.14 Batu Kawah — Sim Kiat Leng
Terdahulu, Chong juga telah mengumumkan dua calon DAP bagi kawasan di Sibu, melibatkan Stanley Chiew bagi kerusi DUN Bukit Assek dan Irene Wong untuk DUN Pelawan. — LEVRONE AIGLE

