KUCHING: Sebarang perbezaan pandangan berhubung pembahagian kerusi antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh diselesaikan secara baik menerusi semangat persahabatan dan persefahaman dalam gabungan itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbezaan pandangan merupakan perkara biasa dalam sesebuah gabungan politik dan tidak seharusnya menjejaskan hubungan antara parti komponen.
Mengulas kebimbangan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing berhubung kerusi Bawang Assan dan Engkilili, beliau yakin perkara itu dapat ditangani secara baik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Ditanya mengenai hasrat PDP untuk mempertahankan lapan kerusi yang kini diwakili parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, Abang Johari berkata, senarai calon GPS hanya akan diumumkan pada 25 November ini.
Terdahulu, Tiong merayu Abang Johari selaku Pengerusi GPS supaya membantu menyelesaikan kebimbangan parti itu berhubung kerusi Bawang Assan dan Engkilili.
Beliau turut menegaskan komitmen PDP untuk mempertahankan kesemua lapan kerusi yang kini diwakili parti berkenaan.
Daripada jumlah itu, lima kerusi iaitu Tasik Biru, Meluan, Krian, Marudi dan Dudong dimenangi PDP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 2021.
Tiga lagi kerusi, iaitu Bawang Assan, Engkilili dan Ba’Kelalan, menjadi sebahagian daripada perwakilan PDP susulan pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan penyerapan ahli parti itu secara blok ke dalam PDP.

