KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi sebarang cabaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 demi mempertahankan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
Pengerusi GPS, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semangat setia kawan dan kerjasama politik yang menjadi asas kestabilan Kerajaan Persekutuan perlu terus dipelihara, bukannya dirosakkan melalui persaingan yang boleh memecahbelahkan perpaduan.
“Kenapa rakan setia nak dilawan? Mereka yang tidak melawan, saya ucap terima kasih. Tapi kalau nak melawan, kita sedia berlawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, GPS sebelum ini memainkan peranan memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Persekutuan menerusi semangat setia kawan dan kesediaan bekerjasama dengan pihak yang mempunyai perbezaan politik.
Katanya, pendirian itu dibuat demi kepentingan Malaysia, namun kestabilan yang dinikmati Sarawak juga perlu terus dipertahankan.
“Sarawak kuat, Malaysia kuat. Sarawak maju, Malaysia maju. Tetapi kenapa rakan setia mahu dilawan?” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengalaman perpecahan politik pada 1987, termasuk perpecahan dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), sebagai pengajaran mengenai kesan perpecahan terhadap perjuangan politik negeri.
Menurutnya, rundingan dan penyatuan sentiasa menjadi pendekatan beliau dalam menangani perbezaan, termasuk menggalakkan kerjasama antara pemimpin pelbagai kaum demi masa depan Sarawak.
Sementara itu, Abang Johari berkata GPS akan meletakkan calon di kesemua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU Sarawak Ke-13 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.
Katanya, langkah itu sebahagian daripada usaha mempertahankan kerjasama politik, hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta agenda pembangunan negeri.
“Kita menyerahkan kepada rakyat. Saya percaya rakyat mahukan kestabilan dan masa depan anak-anak mereka terjamin.
“Kalau kita mahu menjamin masa depan, mesti ada proses pembangunan. Kita berjuang untuk rakyat, negeri dan anak-anak kita,” katanya.
Abang Johari berkata GPS akan terus merapatkan barisan dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan Sarawak terus maju serta mampu mempertahankan kepentingannya dalam Persekutuan Malaysia.

