ARTIKEL

Nanta

GPS tolak politik perkauman, utamakan perpaduan – Nanta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak politik berasaskan sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perjuangan untuk membela kepentingan sesuatu kaum bukanlah satu kesalahan, namun perlu dilakukan dalam batasan yang tidak menjejaskan hubungan baik dengan kaum lain.

Menurut Menteri Kerja Raya itu, perjuangan berkenaan tidak seharusnya melangkaui batas sehingga mencetuskan perselisihan atau konflik dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Jentera GPS bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Nanta berkata, perpaduan dan keharmonian yang sekian lama menjadi asas kehidupan masyarakat Sarawak perlu terus dipertahankan bagi memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri.

Jelasnya, formula perpaduan yang diamalkan di Sarawak, sama ada dalam konteks politik mahupun hubungan masyarakat, terbukti mampu mengekalkan kestabilan negeri.

Keadaan itu sekali gus membolehkan kerajaan menumpukan usaha memajukan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa terganggu oleh perselisihan antara kaum.

Dalam perkembangan lain, Nanta turut menghargai pendirian parti politik dari Semenanjung Malaysia yang menyatakan tidak akan campur tangan dalam PRU Sarawak Ke-13.

Katanya, pendirian itu wajar dihargai kerana dapat mengurangkan risiko pertembungan politik yang boleh menjejaskan suasana pilihan raya di negeri ini.

Beliau menegaskan, perpaduan masyarakat majmuk perlu terus menjadi keutamaan bagi memastikan kestabilan negeri dan kelangsungan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU