KUALA LUMPUR: Aktiviti melukis dan mewarna dilihat menjadi alternatif bermanfaat bagi kanak-kanak yang semakin terdedah kepada peranti dan hiburan digital, selain merangsang kreativiti serta keyakinan diri.
Contohnya, Muhammad Akif Syarafuddin Arif, 13, dan Nur Raisha Nabila Faiz, 10, mengembangkan bakat seni dengan sokongan ibu bapa masing-masing seperti dilapor Bernama.

Akif mula meminati lukisan sejak berusia lima tahun dan menyertai lebih 50 pertandingan dalam tempoh tiga tahun, walaupun tidak pernah mengikuti kelas seni secara formal.
Ibunya, Ainun Jariah Hamat, memberitahu Bernama bahawa dia hanya menyedari potensi anaknya itu selepas membawanya mencuba pertandingan yang dilihat di Facebook ketika Akif berusia 10 tahun.
Akif kemudian meraih beberapa kemenangan di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan, manakala seni doodle menjadikan Wan Jepah sebagai idolanya.
Dalam pada itu, Raisha yang mula mewarna karakter kartun pada usia lima tahun telah menyertai lebih 50 pertandingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan hampir 30 kemenangan.
Ibunya, Ummi Balqis Pazian, 39, berpendapat anak perlu diberi kebebasan bereksperimen dan menikmati proses berkarya tanpa tekanan untuk menghasilkan karya sempurna atau sentiasa menang.



