TANJUNG MANIS: Belawai memiliki aset pelancongan cukup bernilai yang berpotensi menjadikannya antara destinasi pelancongan pesisir pantai dan gastronomi terkemuka di kawasan tengah Sarawak.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, kampung pesisir pantai di Daerah Tanjung Manis itu mempunyai keistimewaan tersendiri berikutan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang hidup dalam suasana harmoni.
Keadaan itu katanya, mencerminkan kekuatan Belawai yang bukan sahaja terletak pada khazanah alam, malah hubungan erat masyarakat yang mengamalkan semangat kebersamaan dalam kehidupan seharian.
“Kita melihat Pesta Belawai sebagai platform penting untuk memperkenalkan keunikan kampung ini kepada pengunjung dari luar, selain memberi ruang kepada generasi muda mengenali, menghargai dan meneruskan warisan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.
“Bagaimanapun, ia perlu disokong dengan pengurusan yang terancang, khususnya dari aspek kebersihan, keselamatan serta penyediaan kemudahan yang mampu memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Belawai 2026, semalam.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk mengekalkan sikap mesra dan layanan baik kerana keramahan antara tarikan utama yang mampu meninggalkan pengalaman positif kepada pelancong.
Keunikan makanan tradisional katanya, kisah sejarah dan budaya pula wajar diketengahkan secara lebih kreatif menerusi platform digital dan media sosial bagi memperluas promosi Belawai kepada khalayak di luar Sarawak.
“Usaha memelihara pantai dan alam sekitar perlu menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan khazanah semula jadi berkenaan terus terpelihara dan dapat dinikmati generasi akan datang.
“Saya juga mahu golongan muda menceburi bidang keusahawanan, pelancongan dan industri kreatif dengan memanfaatkan teknologi digital untuk mempromosikan produk tempatan di samping merebut peluang ekonomi baharu,” katanya.


