KUCHING: Pasukan Segoleng bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Bintangor 2-1, sekali gus dinobatkan juara Piala Perpaduan Tenis Satok Edisi Kedua 2026 di Kompleks Tenis Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS), semalam.
Menurut PTBS, kejayaan Segoleng itu menjadi kemuncak kejohanan tiga hari yang bermula pada 20 November lalu dengan penyertaan enam pasukan daripada pelbagai peringkat umur.
“Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda, dalam sukan tenis.

“Penganjuran seumpama ini juga berperanan mengeratkan hubungan antara komuniti serta menyemai nilai perpaduan, kerjasama dan semangat kesukanan,” menurut kenyataan PTBS, semalam.
Pada aksi final, Bintangor terlebih dahulu berada di depan menerusi pasangan Mohd Nadzim dan Muhd Aiziq Azri yang menewaskan gandingan Zafran dan Brendan Jawan dengan keputusan 6-0, 6-1.
Bagaimanapun, Segoleng tidak mudah mengalah apabila pasangan Awang Mahadil dan Pengiran Badrul bangkit menyamakan kedudukan 1-1 selepas mencatat kemenangan bergaya 6-1, 6-1 ke atas Karim dan John Jussem.
Pertembungan kemudian berlanjutan ke perlawanan penentuan yang menyaksikan pasangan Amin Tamel dan Ahmad Mahmud Ediwi menjadi wira Segoleng selepas menundukkan William Willie dan Khaidir Nor 6-3, 7-5.
Kemenangan tersebut melengkapkan kebangkitan Segoleng selepas kehilangan mata pertama, sekali gus memastikan piala kejuaraan menjadi milik pasukan berkenaan.
Sementara itu, Temedak meraih tempat ketiga selepas menewaskan Sungai Lajim 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Menurut PTBS, penyertaan pemain daripada pelbagai generasi turut memperlihatkan peranan kejohanan itu sebagai medan memperkukuh hubungan persahabatan dan mengembangkan minat masyarakat dengan sukan tenis.
“Kejohanan kedua ini juga menjadi sebahagian daripada usaha berterusan persatuan menyediakan lebih banyak peluang pertandingan kepada pemain tempatan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman mereka.
“Kejayaan penganjuran ini diharap dapat memperkukuh kesinambungan Piala Perpaduan Tenis Satok sebagai platform pembangunan sukan tenis dan perpaduan komuniti di Sarawak,” ujar PTBS.
PTBS turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan, pegawai kejohanan, pengadil serta pihak yang memberikan kerjasama dalam memastikan pertandingan berlangsung dengan jayanya.



