SRI AMAN: Pasukan Axis Kids Academy Kuching mencipta sensasi tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Bawah 14 Tahun 2026 (SAYFT 2026) selepas menumpaskan Datus United Football Academy Sri Aman (1-0) aksi final yang berlangsung semalam.
Sekali gus, membolehkan barisan pemain pasukan terbabit membawa pulang wang tunai RM3,000, piala, pingat dan sijil.
Manakala, tuan rumah iaitu Datus United Football Academy Sri Aman yang sekadar berpuas hati bergelar naib juara, membawa pulang wang tunai RM1,500, piala, pingat dan sijil.

Dalam pada itu, pasukan AL Matteen Football Academy Kuching dan Cascara Football Club Kuching yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM800, piala, pingat dan sijil selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Bintang sensasi Datus United Football Academy Sri Aman, Adwa Wafri dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik.
Pengerusi kejohanan, Awang Putrayusrie Awang Redzuan memberitahu, kejohanan edisi pertama anjuran Datus United Football Club Sri Aman itu berlangsung selama dua hari (21 dan 22 November).
Tegasnya, saingan kali ini membabitkan lapan pasukan mewakili pelbagai kelab dan akademi.
Empat pasukan lainnya ialah PFA ODIN 14 Kuching, SJN Academy Kuching, GMP Future Football Development Betong dan L.A United FC Lubok Antu.
“Pihak kita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama diberikan untuk pengelolaan edisi kali ini.
“Diharap kerjasama yang terjalin ini akan dapat berkekalan pada masa akan datang,” ujar Awang Putrayusrie kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menyatakan, saingan membabitkan kategori Bawah 16 Tahun pula akan berlangsung dari 28 dan 29 November ini.
Kejohanan ini yang turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta beberapa rakan strategik lain seperti Bintulu Port, Press Metal dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).



