KUCHING: Tindakan pantas orang awam menggunakan air parit berhampiran berjaya memadamkan kebakaran sebuah Proton Saga di Jalan Lapangan Terbang Kuching petang tadi, sebelum api sempat merebak dengan lebih besar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kebakaran yang melibatkan bahagian tempat duduk belakang kereta itu berjaya dikawal orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.35 petang.
“Lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.45 petang.

“Bagaimanapun, api sudah berjaya dipadamkan orang awam menggunakan air parit berdekatan ketika pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kebakaran dianggarkan melibatkan kira-kira 15 peratus bahagian kenderaan berkenaan.
Tambahnya, pasukan bomba tidak perlu menjalankan kerja pemadaman, sebaliknya hanya memantau bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Operasi terkawal pada jam 2.50 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.03 petang,” tegas kenyataan itu.



