ARTIKEL

Wakil UNIMAS, UMS, UNTAN dan IAIN Pontianak merakamkan kenangan bersama selepas Mesyuarat Perbincangan Kerjasama Penyelidikan Bahasa dan Budaya Etnik di Borneo di UNIMAS.

Lima universiti Borneo mulakan kajian bahasa dan budaya etnik 2027 hingga 2029

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lima institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam memperkukuh kerjasama penyelidikan bahasa serta budaya etnik Borneo menerusi pelaksanaan kajian bersama bagi tempoh 2027 hingga 2029.

Kerjasama yang diterajui Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu menyasarkan penghasilan Daftar Kata Etnik Borneo, penerbitan ilmiah dan penganjuran persidangan antarabangsa bagi memastikan kekayaan bahasa serta warisan masyarakat peribumi terus dipelihara.

Menurut kenyataan UNIMAS, inisiatif tersebut turut melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universitas Tanjungpura (UNTAN) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Indonesia.

“Kajian ini menumpukan kepada lapan bidang tujahan utama yang akan menjadi asas kerjasama penyelidikan antara institusi terbabit.

“Antaranya merangkumi kajian etnik marginal, bahasa etnik, kebudayaan dan kesenian, toleransi etnik, kearifan tempatan, agama dan kepercayaan, sastera lisan serta hubungan rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Tambah UNIMAS, tumpuan tersebut dijangka membuka ruang kepada penyelidik untuk mendokumentasikan kepelbagaian bahasa, menelusuri hubungan sejarah antara masyarakat etnik serta memahami perkembangan budaya yang melangkaui sempadan negara.

“Bertemakan ‘Penyelidikan Genealogi Bahasa dan Budaya serta Pertautan Etnik di Borneo’, pembentukan pasukan penyelidik bersama dan penyediaan geran padanan turut menjadi antara agenda utama.

“Ini penting bagi memastikan penyelidikan yang dirancang dapat dilaksanakan secara tersusun sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan,” jelasnya.

Usaha penyelidikan bersama itu turut dilihat berpotensi memperkukuh kedudukan Borneo sebagai pusat kajian bahasa, budaya dan warisan etnik, khususnya melalui penghasilan bahan rujukan akademik yang lebih menyeluruh.

Terdahulu, pertemuan yang berlangsung pada 20 November lalu dihoskan oleh Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan jaringan penyelidikan rentas sempadan yang lebih bersepadu.

Kerjasama tersebut juga menyasarkan pemeteraian memorandum persefahaman antara institusi terlibat sebagai asas memperkukuh hubungan akademik, pertukaran kepakaran dan pelaksanaan projek penyelidikan pada masa hadapan.

UNIMAS selaku tuan rumah diwakili Dekan FPBK, Dr Dilah Tuah bersama barisan timbalan dekan, manakala delegasi UMS diketuai Prof Datuk Dr Ismail Ali bersama Dr Daron Benjamin Loo.

Sementara itu, UNTAN diwakili Timbalan Dekan Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Dr Agus Syahrani, manakala IAIN Pontianak diwakili Dr Syarifah Aminah, Dr Sri Hidayati dan Didi Darmadi.

Wakil UBD pula menyertai perbincangan tersebut secara dalam talian bagi menyelaraskan hala tuju kerjasama penyelidikan yang melibatkan tiga negara berkenaan.

BERITA LAIN

53 peratus murid SJKC Chung Hua Bako Bumiputera

KOTA SAMARAHAN: Kehadiran murid Bumiputera yang merangkumi 53 peratus daripada jumlah keseluruhan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bako mencerminkan penerimaan masyarakat pelbagai

BERITA TERBARU

Lelaki 22 tahun terima padah berjudi di kafe

KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM3,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana berjudi dalam talian di sebuah kafe, iaitu

53 peratus murid SJKC Chung Hua Bako Bumiputera

KOTA SAMARAHAN: Kehadiran murid Bumiputera yang merangkumi 53 peratus daripada jumlah keseluruhan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bako mencerminkan penerimaan masyarakat pelbagai