KOTA SAMARAHAN: Kejohanan Bola Sepak Remaja Bawah 16 Tahun 2026 (SAYFT 2026) bakal berlangsung di Sri Aman pada Sabtu dan Ahad ini.
Kejohanan anjuran Datus United Football Club Sri Aman itu menjadi penanda aras terbaik buat Akademi Bola Sepak Remaja Samarahan (SYFA) yang bersedia mencipta kejutan.
Pengurus pasukan, Abdul Muhtalip Tegak berkata, barisan pemainnya sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan itu.
SYFA turun dengan misi serampang dua mata, iaitu menampilkan aksi terbaik selain cuba mencipta kejutan.
“Kita sudah bersedia untuk mengharungi gelora sebenar kejohanan dua hari itu.
“Kami turun dengan misi serampang dua mata.
Cuba menampilkan aksi terbaik dan berusaha untuk mencipta kejutan,” ujar Muhtalip kepada Arena Suara Sarawak.
Muhtalip menegaskan, ini penampilan sulung skuad bawah 16 tahun SYFA di luar kawasan.
Justeru, katanya, tekanan yang tinggi bakal dihadapi pemain pada aksi sebenar nanti.
“Kita tahu himpunan pasukan yang turut serta begitu hebat dan mempunyai reputasi tersendiri.
“Namun, ia bukan gambaran untuk menyekat keinginan pemain ke arah itu,” katanya.
Muhtalip menambah, persiapan rapi yang dilakukan pemain sebelum ini pasti menjadi tonik untuk mereka merealisasikan misi tersebut.
Penganjuran SAYFT 2026 turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta beberapa rakan strategik lain seperti Bintulu Port, Press Metal dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Lapan pasukan yang mewakili pelbagai kelab dan akademi menyertai kejohanan kali ini.
Selain SYFA, tujuh pasukan lain ialah Al Matteen Football Academy Kuching, Akademi Tambirat, PFA Odin 16, Cascara Football Club Kuching, Akademi Bola Sepak Samarahan, KSRB Spaoh dan Datus United Football Academy Sri Aman.



