ARTIKEL

SAR… Sekitar operasi SAR dijalankan semalam.

Lelaki 34 tahun ditemui mati selepas 17 jam hilang di Sungai Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pencarian seorang lelaki berusia 34 tahun yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Sarawak berakhir dengan penemuan mayatnya kira-kira 17 jam selepas kejadian dilaporkan kepada polis, malam tadi.

Mangsa dilaporkan terjatuh dari tebing sebuah dermaga di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, di sini, sebelum hilang dan gagal ditemui dalam kejadian awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Padungan kira-kira jam 3.25 pagi.

Menurutnya, anggota polis yang tiba di lokasi mengesahkan seorang lelaki Melayu berusia 34 tahun terjatuh ke dalam sungai berkenaan dan tidak dapat dikesan.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada jam 8 pagi dengan penyertaan pelbagai agensi keselamatan serta penyelamat bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Alexson berkata, operasi itu membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pasukan Polis Marin, Sarawak Coast Guard dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Beliau menambah, usaha pencarian sepanjang hari akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa pada jam 8.45 malam dengan bantuan orang ramai di kawasan pencarian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu demi menjaga sensitiviti serta perasaan keluarga mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Padungan, Inspektor Goh Chen Hong di talian 014-900 7007 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU