ARTIKEL

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian

Sim: DAP kelirukan rakyat dengan istilah semak dan imbang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyalahgunakan istilah semak dan imbang untuk mengelirukan rakyat, sedangkan agenda sebenar parti itu lebih menjurus kepada kepentingan politik kepartian menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, konsep yang sering digunakan DAP dalam kempen politiknya tidak seharusnya disamakan dengan usaha sesebuah parti untuk mendapatkan kerusi atau memperkukuh kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi mempunyai pengertian berbeza kerana berasaskan doktrin pengasingan kuasa antara tiga cabang utama pemerintahan.

“DAP telah menyalahgunakan istilah tersebut untuk mengelirukan rakyat, sedangkan apa yang sebenarnya mereka perjuangkan ialah semakan partisan.

“Ia usaha memperkukuh agenda politik parti sendiri sambil mengawasi pihak lawan, sama ada di dalam atau di luar badan perundangan.

“Sebaliknya, prinsip semak dan imbang mempunyai maksud yang sama sekali berbeza,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Menurut beliau, doktrin semak dan imbang ialah prinsip penting dalam sistem demokrasi yang memastikan keseimbangan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

“Semak dan imbang ialah doktrin yang menjelaskan prinsip pengasingan kuasa melalui keseimbangan antara tiga cabang pemerintahan dalam demokrasi, iaitu badan eksekutif atau Kabinet, badan perundangan atau dewan serta badan kehakiman atau mahkamah.

“Prinsip ini bukan mengenai pilihan raya atau kerusi pembangkang. Oleh itu, calon sesebuah parti tidak boleh melabelkan diri mereka sebagai semak dan imbang, kemudian memberikan gambaran seolah-olah mereka berhak diberikan tempat dalam badan perundangan tanpa mengira keadaan,” jelasnya.

Kenyataan Dr Sim itu menyusuli perdebatan mengenai peranan pembangkang dalam DUN Sarawak, khususnya selepas DAP menjadikan pengukuhan fungsi semak dan imbang sebagai antara hujah utama penyertaannya dalam PRU Sarawak Ke-13.

Pada 22 November lalu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, menegaskan kepentingan mempunyai pembangkang yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau turut berpandangan bahawa kehadiran wakil pembangkang dalam DUN penting bagi memastikan dasar serta tindakan kerajaan dapat diteliti dan dipersoalkan secara berkesan.

Terdahulu, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, pada 20 November lalu turut menegaskan bahawa prinsip semak dan imbang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengehadkan kemenangan sesebuah parti politik dalam pilihan raya.

Menurutnya, konsep semak partisan perlu dibezakan daripada prinsip semak dan imbang yang berasaskan pengasingan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman bagi mengelakkan pemusatan kuasa.

Asfia turut menjelaskan bahawa mandat untuk menentukan wakil rakyat dan pembentukan kerajaan terletak sepenuhnya di tangan pengundi melalui proses pilihan raya.

Katanya, konsep semak dan imbang tidak bermaksud kemenangan sesebuah parti perlu dihadkan semata-mata bagi memastikan parti lain memperoleh perwakilan dalam badan perundangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU