KUCHING: Pameran Motosikal Gedong 2026 menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 50 jentera, sekali gus melepasi sasaran awal 30 motosikal menjelang penganjurannya di Dataran Gedong, Ahad ini.
Pengerusi Pengelola Gedong Bike Showcase, Nurfitrah Mohamed berkata, acara yang berlangsung pada 29 November itu antara tarikan utama program Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Berambeh 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-45, dengan sasaran kehadiran 10,000 pengunjung.

“Pameran ini bertujuan memberi peluang kepada pemilik motosikal mengetengahkan keunikan, kreativiti dan hasil pengubahsuaian jentera masing-masing, selain menarik lebih ramai pengunjung memeriahkan program ini.
“Malah, kehadiran pengunjung dari luar Gedong juga diharap dapat merancakkan kegiatan ekonomi setempat, khususnya perniagaan makanan, aksesori motosikal dan usahawan kecil sepanjang program berlangsung,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Nurfitrah, pertandingan pameran motosikal atau autoshow menjadi tumpuan utama dengan 12 kategori dipertandingkan, selain tiga anugerah khas yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM1,500.
Beliau berkata, kategori utama merangkumi Motosikal Berkuasa Tinggi Terbaik, Motosikal Tanpa Fairing Terbaik, Motosikal Jelajah Terbaik, Motosikal Chopper Terbaik, Motosikal Kembara Terbaik dan Motosikal Klasik Terbaik.

“Turut dipertandingkan ialah kategori Motosikal Modifikasi Terbaik, Kapcai Modifikasi Terbaik, Motosikal Sport Terbaik, Skuter Standard Terbaik, Kemasan Cat Terbaik dan Rekaan Semburan Udara Terbaik, masing-masing menawarkan RM200 berserta piala dan sijil.
“Tiga anugerah khas pula menawarkan RM1,500 bagi kategori Terbaik Antara Terbaik, RM1,000 untuk Anugerah Pilihan Pengunjung dan RM500 bagi Anugerah Khas Juri,” jelasnya.
Selain pertandingan, program itu turut menampilkan pameran deruman enjin motosikal serta pelbagai aktiviti komuniti bagi menarik penyertaan peminat permotoran, belia dan keluarga.
“Penganjuran ini bukan sekadar menghimpunkan pemilik motosikal, tetapi turut membuka ruang kepada kelab permotoran dan komuniti untuk berinteraksi serta mengeratkan hubungan persahabatan.
“Kita berharap penyertaan pelbagai komuniti dapat memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung, selain menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam aktiviti yang positif,” jelasnya.
Nurfitrah berkata, penganjuran berkenaan turut menyasarkan kehadiran pemilik motosikal dan kelab permotoran dari seluruh Sarawak serta kawasan luar bagi memperluas jaringan komuniti permotoran.
Dalam pada itu, beliau berharap Pameran Motosikal Gedong dapat diteruskan sebagai antara acara komuniti yang mampu memperkenalkan Gedong sebagai lokasi berpotensi bagi penganjuran aktiviti permotoran dan pelancongan.
“Harapan kita supaya program ini bukan sahaja memeriahkan sambutan 45 tahun LCDA bersama komuniti, tetapi turut memberi manfaat kepada penduduk dan peniaga tempatan serta mengukuhkan hubungan dalam kalangan peminat permotoran,” katanya.



