ARTIKEL

Sarawak Percepat Pengkomersialan Cip Semikonduktor Tempatan


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mempercepat usaha mengkomersialkan cip semikonduktor rekaan tempatan bagi memenuhi permintaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem tenaga hijau, sekali gus memperluas penyertaan negeri dalam industri teknologi tinggi global.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn. Bhd., Datuk Shariman Jamil berkata, usaha tersebut dipacu pembangunan cip semikonduktor kuasa pertama rekaan Sarawak, keteq.GaN yang diperkenalkan pada Oktober lalu bagi menyokong keperluan infrastruktur digital dan penggunaan tenaga secara cekap.

Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan strategik untuk menggabungkan kekuatan tenaga boleh baharu, teknologi semikonduktor dan AI bagi membangunkan penyelesaian teknologi bernilai tinggi yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

“Apabila kita bercakap mengenai peralihan tenaga global, kita memikirkan ladang solar, kuasa hidro, penyimpanan bateri dan kenderaan elektrik. Apabila bercakap mengenai AI, kita memikirkan pemproses berkuasa tinggi, algoritma canggih dan pusat data.

“Namun, di sebalik semua teknologi ini terdapat satu komponen penting yang membolehkan semuanya berfungsi, iaitu semikonduktor, khususnya semikonduktor kuasa,” katanya pada Program AI untuk Perniagaan Amerika Syarikat-Sarawak 2026 di SMD Semiconductor, di sini, semalam.

Mengulas lanjut ujarnya, Sarawak perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar menjadi pembekal tenaga dan pengguna teknologi AI kepada pengeluar cip semikonduktor, pemilik harta intelek serta penyedia penyelesaian teknologi bernilai tinggi untuk pasaran global.

“Semikonduktor kuasa membolehkan penukaran, kawalan dan pengurusan tenaga elektrik dilaksanakan dengan lebih cekap, daripada penjanaan tenaga boleh baharu dan penyimpanan bateri sehingga sistem bekalan kuasa yang menyokong pusat data AI.

“Sarawak mesti melangkaui peranan sebagai pembekal tenaga dan pengguna AI untuk menjadi pencipta teknologi semikonduktor, harta intelek dan penyelesaian bernilai tinggi bagi pasaran global,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, cip keteq.GaN yang dibangunkan berasaskan teknologi galium nitrida (GaN) direka untuk meningkatkan kecekapan penukaran dan pengurusan tenaga dalam pusat data AI, sistem tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga, grid pintar serta peralatan elektronik kuasa industri.

SMD Semiconductor yang ditubuhkan Kerajaan Sarawak pada 2022 kini memperluas keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu, pembangunan harta intelek, modul kuasa, sistem kawalan pintar dan teknologi pengurusan tenaga bagi menghubungkan inovasi tempatan dengan keperluan industri.

“Teknologi ini saling melengkapi. Dengan membangunkan ekosistem bersepadu berasaskan tenaga bersih, reka bentuk semikonduktor tempatan dan sistem kuasa pintar, Sarawak mampu membina kedudukan berdaya saing dalam ekonomi AI global.

“Peluang Sarawak bukan sekadar membekalkan tenaga boleh baharu untuk revolusi AI, tetapi membangunkan teknologi semikonduktor dan sistem pintar yang menjadikan revolusi itu lebih cekap, mampan serta berdaya saing,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri antarabangsa serta mempercepat pengkomersialan cip, modul dan penyelesaian kuasa pintar rekaan Sarawak bagi membangunkan bakat tempatan, mewujudkan nilai ekonomi dan meningkatkan penyertaan negeri dalam rantaian bekalan global.

Program sehari bertemakan ‘Gunakan AI Secara Selamat, Berkembang dengan Yakin’ itu dianjurkan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur serta SMD Semiconductor sebagai rakan sumber teknologi dan industri tempatan.

Seramai 120 peserta daripada agensi kerajaan, sektor perniagaan, industri, institusi pendidikan, pertubuhan belia dan media menyertai program berkenaan yang turut memberikan penekanan kepada pengurusan risiko, keselamatan data, perlindungan harta intelek serta penggunaan AI secara bertanggungjawab.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

ACL2: Phnom Penh Crown tiba malam ini

KUCHING: Pendahulu Kumpulan H, Phnom Penh Crown FC dijadual tiba di Kuching jam 8 malam ini bagi menghadapi pertemuan penting menentang Kuching City FC dalam