ARTIKEL

Abang Johari (duduk tengah) bergambar bersama tetamu lain sebelum majlis konvokesyen berlangsung. | Foto: Ramidi Subari

TAHOTECH perlu buktikan kecemerlangan sebagai universiti penuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Teknologi Tun Openg Sarawak (TAHOTECH) perlu membuktikan kecemerlangannya sebagai universiti penuh menerusi peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi, selaras dengan keperluan industri masa hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan status institusi itu kepada universiti penuh perlu disusuli peningkatan kualiti akademik serta keupayaan melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, TAHOTECH mempunyai tanggungjawab besar dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak, khususnya menerusi pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.

“Saya mahu pembangunan kampus ini dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat Sarawak.

“TAHOTECH perlu berkembang sebagai institusi yang mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya dalam bidang teknologi, kejuruteraan, aeroangkasa dan penyelidikan gunaan yang dapat menyokong keperluan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Selaku Canselor TAHOTECH, Abang Johari berkata, Pelan Transformasi 2030 universiti itu perlu diterjemahkan kepada pencapaian yang nyata bagi memastikan institusi berkenaan terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi.

“Kecemerlangan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui bangunan dan kemudahan yang dimiliki, tetapi melalui kualiti graduan, kekuatan penyelidikan, integriti tadbir urus dan sumbangannya kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM42 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi pembangunan awal kampus utama TAHOTECH di Trombol, Kuching.

Abang Johari berkata, pelaburan itu sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh infrastruktur pendidikan tinggi serta membangunkan ekosistem penyelidikan dan inovasi di Sarawak.

Beliau berkata, perkembangan teknologi yang pesat ketika ini, termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, semikonduktor, analitik data dan teknologi digital, menuntut Sarawak melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurutnya, anak Sarawak perlu menguasai bidang pengaturcaraan, sains data, keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi pintar bagi memastikan mereka mampu memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut memperkukuh pembangunan sektor angkasa dan aeroangkasa sebagai antara bidang ekonomi baharu menerusi peruntukan RM1.5 juta dalam Belanjawan Sarawak 2027 bagi Kajian Pelan Induk Pembangunan Angkasa dan Aeroangkasa Sarawak.

“Kita turut menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama Sarawak berasaskan teknologi CubeSat menjelang tahun 2030, dengan Agensi Angkasa Sarawak (SSA) memainkan peranan dalam penyelarasan penyelidikan dan kerjasama industri,” katanya.

Beliau berkata, teknologi satelit dan penderiaan jauh mempunyai potensi besar dalam pemetaan, pemantauan alam sekitar, pengurusan sumber dan perancangan pembangunan.

Katanya, pembangunan bidang kejuruteraan aeroangkasa di TAHOTECH merupakan langkah strategik. Justeru, beliau berharap universiti itu dapat memperkukuh kerjasama dengan SSA, CENTEXS, institusi penyelidikan dan pihak industri bagi melahirkan tenaga pakar tempatan yang mampu menyertai sektor teknologi tinggi pada masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU