KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira lima bulan cedera pada bahagian muka selepas diserang seekor monyet liar di kediamannya di Kampung Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 8.18 malam ketika bayi itu sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu, manakala ibunya berusia 18 tahun berada di dapur.
“Ibu mangsa terdengar jeritan sebelum mendapati seekor monyet berada berhampiran mangsa. Haiwan itu dipercayai masuk ke rumah melalui tingkap yang terbuka dan melarikan diri melalui tingkap sama.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.44 malam hari sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata bayi itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan kes dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tindakan lanjut.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu. – BERNAMA



