KUCHING: Pelaksanaan Fasa 2 (2023-2027) Projek Tukun Tiruan Sarawak menyaksikan penempatan tambahan sebanyak 5,000 unit tukun tiruan dengan tumpuan terhadap perluasan peluang ekonomi biru.
Menurut Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), penempatan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tukun tiruan yang ditempatkan di bawah Projek Tukun Tiruan Sarawak sebanyak 21,800 unit.
Menjelaskan lebih lanjut, SFC berkata Fasa 2 projek itu memberi tumpuan kepada kepelbagaian penggunaan tukun tiruan melalui tiga inisiatif utama, iaitu Ekopelancongan Marin dan Aktiviti Selam Skuba.
“Ini bagi membangunkan potensi tarikan dan destinasi bawah laut untuk aktiviti menyelam rekreasi serta pelancongan marin,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, terdapat inisiatif Memancing Sukan dan Rekreasi untuk meningkatkan habitat ikan serta mewujudkan peluang aktiviti memancing rekreasi secara mampan.
Inisiatif ketiga pula ialah Tapak Perintis Marikultur Karang untuk meneroka peluang penanaman, pembiakan dan pemulihan karang bagi menyokong daya tahan jangka panjang ekosistem terumbu karang Sarawak.
SFC berkata, bagi Fasa 1 (2018–2022) Projek Tukun Tiruan Sarawak, sebanyak 16,800 unit tukun tiruan ditempatkan di perairan pantai Sarawak, bermula dari Tanjung Datu hingga ke Lawas.
Katanya, pencapaian itu mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada Reef Ball Foundation, Amerika Syarikat pada 10 Julai 2023 sebagai penghadang tukun tiruan terpanjang di dunia, merentangi 746 kilometer garis pantai Sarawak.
SFC turut menegaskan Projek Tukun Tiruan Sarawak mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk mengimbangi usaha pemuliharaan marin dengan pembangunan ekonomi yang mampan.
“Melalui pelaksanaan berterusan, pemantauan saintifik dan kerjasama strategik, SFC berhasrat memastikan inisiatif ini memberikan manfaat jangka panjang kepada biodiversiti marin, sumber perikanan serta rakyat Sarawak,” katanya.
Tukun tiruan ialah struktur yang direka khas untuk meniru seni bina kompleks terumbu karang semula jadi.
Reka bentuknya yang unik, berbentuk kubah berongga, menyediakan tempat perlindungan dan habitat kepada ikan serta organisma marin lain.
Pada masa sama, permukaan struktur itu sesuai untuk larva karang hinggap, melekat dan membesar.
Dalam tempoh tertentu, struktur berkenaan berpotensi berkembang menjadi habitat marin yang subur, sekali gus menyumbang kepada peningkatan biodiversiti marin.
Menyedari kepentingan melindungi ekosistem marin dan sumber perikanan Sarawak, Kerajaan Sarawak melabur dalam Projek Tukun Tiruan Sarawak dan SFC diberi tanggungjawab melaksanakan projek berkenaan.
Inisiatif itu bukan sekadar melibatkan penempatan struktur tukun tiruan di dasar laut, sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap pemuliharaan biodiversiti marin, peningkatan sumber perikanan serta pembangunan ekonomi biru Sarawak secara mampan.




