MIRI: Sebanyak 535 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga Februari 2026 berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 524 kes melibatkan kerosakan kenderaan, empat kes kemalangan ringan, satu kes kemalangan parah manakala enam lagi merupakan kes kemalangan maut.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, faktor manusia merupakan antara punca utama kemalangan yang sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pengguna memandu secara berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas.
“Melihat kepada statistik ini, pengguna jalan raya perlu menitikberatkan aspek keselamatan bagi memastikan perjalanan selamat dan dapat meraikan perayaan bersama keluarga dengan gembira.
“Di samping itu, pengguna Lebuh Raya Pan Borneo turut diingatkan agar memandu mengikut had laju yang ditetapkan berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang dijangka menggunakan laluan tersebut untuk pulang ke kampung sempena musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Petronas Permyjaya hari ini.
Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menyatakan sokongan kementeriannya terhadap inisiatif Majlis Keselamatan Jalan Raya yang melaksanakan kempen berkenaan dengan kerjasama pelbagai agensi dan komuniti setempat.
Antara agensi yang terlibat termasuklah Pejabat Residen Miri, Kementerian Pengangkutan Sarawak, PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak Petronas yang menyediakan lokasi bagi penganjuran kempen berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengagihkan sumbangan berupa topi keledar, hamper dan biskut raya kepada pengguna jalan raya di laluan Miri-Pujut.


