SARATOK: Operasi penguatkuasaan lalu lintas yang dijalankan oleh Balai Polis Saratok bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Saratok di sekitar daerah ini mencatatkan sebanyak 56 saman dikeluarkan sepanjang operasi selama tiga jam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie, operasi bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari melibatkan sembilan anggota, termasuk dua pegawai kanan, Insp Stephen Willy dan Insp Wealy James, serta anggota BSPTD dan Balai Saratok.

“Tumpuan operasi dijalankan di pekan Saratok, laluan Pan Borneo dan pekan Kabong menyasarkan pematuhan peraturan jalan raya serta mendidik pengguna mematuhi undang-undang.
“Menurut laporan, sebanyak 56 saman telah dikeluarkan dengan pecahan 21 saman kepada pemandu kereta, 15 saman kepada penunggang motosikal, 12 saman kepada kenderaan pacuan empat roda dan lapan saman kepada pemandu lori,” katanya dalam kenyataan.
Mathew menambah, dalam tempoh operasi penguatkuasaan bermula 2 hingga 6 Februari lalu, pihak BSPTD IPD Saratok bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Saratok menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras kesalahan jalan raya.
Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah pemandu kenderaan memasuki laluan “Dilarang Masuk/No Entry”, diikuti penunggang motosikal tidak memakai topi keledar dan melakukan ubah suai motosikal.
“Dalam pada itu, pihak polis turut menyita dua motosikal yang diubah suai sehingga berisiko membahayakan penunggang serta pengguna jalan raya lain,” katanya lanjut.


