KUCHING: Dalam usaha memperkukuh kebajikan rakyat, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM295.5 juta bagi program Bantuan Kewangan Bulanan Kebajikan, dengan 56,660 penerima telah menerima bayaran sebanyak RM249.2 juta setakat Oktober 2025.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) meningkatkan kecekapan pengurusan bantuan melalui pengurusan bersepadu Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan Sosial (SPBKS) dan Sistem Perakaunan Sarawak (SPS).
‘’Langkah ini mempercepat pembayaran bantuan daripada 14 hari kepada hanya lima hari.
‘’Dalam tempoh yang sama, RM6.5 juta telah dibelanjakan untuk bantuan kesihatan, termasuk 312 pesakit di bawah Bantuan Pesakit Buah Pinggang, 81 pesakit melalui Skim Bantuan Perubatan dan 75 pesakit di bawah Skim Bantuan Alat Tiruan dan Sokongan,’’ katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, kata Fatimah, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak menunjukkan bahawa sejak 2023, sebanyak 20 kes telah direkodkan melibatkan 26 tangkapan berkaitan pemilikan cecair rokok elektronik atau vape yang mengandungi bahan terlarang.
Beliau menambah, jumlah rampasan daripada kes-kes ini mencecah 1,416.15 mililiter, dan usaha pencegahan serta penyediaan rujukan rawatan sedang dipertingkatkan.
‘’Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju supaya kementerian berkaitan memperluas usaha pencegahan dan menyediakan rujukan rawatan untuk menangani penagihan rokok elektronik atau vape di seluruh Sarawak,’’ katanya.
Tambah Fatimah, setakat Oktober 2025, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan 140 program dan aktiviti bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dan substans terlarang.
Program ini katanya, merangkumi 44 penguatkuasaan bersepadu, 12 program di institusi pendidikan, 11 di tempat kerja, serta 73 di komuniti dan keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan supaya kekerapan persidangan Mahkamah Litar ditingkatkan kepada tiga kali sebulan, serta menambah dua Unit Patologi Kimia di Jabatan Patologi Sarawak bagi zon tengah dan utara.
Langkah ini katanya, bertujuan memperkukuh sistem penguatkuasaan undang-undang, mempercepat pengeluaran laporan patologi dan melancarkan proses pendakwaan.
Bagi menjawab isu yang dibangkitkan ADUN Krian, Fatimah berkata walaupun IPD Meradong dan Saratok tiada Unit JSJN, masing-masing menempatkan dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk membanteras penyalahgunaan dadah.
‘’Bagi Ba’kelalan, Kementerian menyedari dadah sintetik menjadi ancaman baharu dalam kalangan golongan muda. Dua unit Handheld Backscatter telah dibekalkan kepada JSJN, IPK Sarawak bagi memperkukuh pengesanan dadah, termasuk sintetik.
‘’Kementerian juga menekankan kepentingan rehabilitasi melalui Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). Seramai 960 individu menunggu rehabilitasi, sedangkan kapasiti hanya 350 orang, justeru penubuhan dua PUSPEN tambahan di zon tengah dan utara Sarawak disegerakan,’’ katanya.



