MATU: Seramai 579 Ketua Isi Rumah (KIR) di Zon Sekaan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menerima bakul makanan menerusi Program Agihan Mesra Rakyat, hari ini.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.


Program anjuran Pusat Khidmat Jemoreng dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Matu (LAKIM) itu membabitkan enam kawasan, iaitu Pasar Baru Matu sebanyak 39 bakul, Pasar Lama Matu (47), Kampung Dagang (78), Kampung Masjid (111), Kampung Muut (100) dan Kampung Treng (204).
Juanda berkata, bantuan berkenaan diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan asas keluarga.
“Usaha membantu masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mengambil kira keperluan penduduk di setiap kawasan,” katanya.
Bakul makanan berkenaan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan barangan makanan lain.




