KUALA LUMPUR: Kualiti udara semakin baik setakat 10 pagi ini berbanding malam tadi, dengan hanya Johan Setia, Selangor mencatatkan tahap tidak sihat.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 151.
Sebanyak 58 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana antara 51 hingga 100, manakala lapan kawasan merekodkan tahap baik dengan bacaan bawah 50.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana dan 101 hingga 200 tidak sihat. Bacaan 201 hingga 300 pula dikategorikan sangat tidak sihat, manakala melebihi 300 adalah berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan pemantauan 68 stesen kualiti udara di seluruh negara seperti dilapor Bernama.

