ARTIKEL

60 projek perumahan swasta di Sarawak dikenal pasti bermasalah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 60 projek pembangunan perumahan swasta di Sarawak dikenal pasti bermasalah setakat Ogos 2026, dengan dua daripadanya telah diisytiharkan terbengkalai.

Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) berkata, 46.7 peratus daripada projek berkenaan telah disiapkan sepenuhnya atau sebahagiannya atau diselesaikan, manakala baki 53.3 peratus masih dalam tindakan intervensi di bawah kategori statik dan disambung semula.

Justeru, kata kementerian itu, usaha menyelesaikan projek bermasalah yang masih berbaki diteruskan menerusi Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP).

“Di Bahagian Sarikei, Taman Muhibbah diisytiharkan terbengkalai pada 16 Mei 2026 selepas projek berkenaan tertangguh lebih tujuh tahun,” katanya.

“Pengisytiharan itu dibuat susulan kegagalan pemaju memenuhi obligasi untuk menyiapkan pembangunan dan menyerahkan milikan kosong kepada pembeli rumah,” jelasnya.

“Bagi memulihkan projek berkenaan, pada 13 Julai 2026, Kejora Dijaya Sdn Bhd telah dilantik sebagai pemaju perumahan yang ditetapkan, dengan kerja pembinaan kini telah disambung semula,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

MPHLG berkata, perkara berkaitan perundangan dan pentadbiran yang membabitkan pelbagai pihak turut terus ditangani.

Di Bahagian Sibu pula, MPHLG mengenal pasti peningkatan jumlah projek bermasalah menerusi penilaian di lapangan.

“Antara yang diberi perhatian ialah Kemunyang Heights dan Harmony Commercial & Residence, yang sedang diteliti menerusi JKTP bagi mencari langkah alternatif untuk menangani kelewatan berpanjangan,” katanya.

“Kemunyang Heights yang telah tertangguh selama 10 tahun berdepan kemungkinan diisytiharkan terbengkalai sekiranya pemaju terus tidak berupaya atau tidak bersedia menunjukkan kemajuan ketara dalam memenuhi obligasinya,” jelasnya.

Sementara itu, kata MPHLG, sebanyak 61 unit rumah mampu milik di Harmony Commercial & Residence masih belum memperoleh Permit Menduduki, walaupun kerja infrastruktur dan bangunan telah sebahagian besarnya siap.

Jelasnya, keadaan itu berpunca daripada kerja tertentu yang tidak dilaksanakan mengikut pelan yang diluluskan.

Kementerian turut menyiasat isu penjualan rumah mampu milik di projek berkenaan pada harga melebihi harga jualan yang diluluskan.

“Pemaju disasarkan menyambung semula pembinaan projek itu menjelang Januari 2027,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, projek Lot 287, Blok 9 Lukut Kanowit yang tertangguh lebih tujuh tahun kini menghampiri siap dan menunggu pemeriksaan pihak berkuasa.

MPHLG berkata, kementerian akan terus memudah cara pemulihan serta melaksanakan intervensi yang diperlukan terhadap projek bermasalah yang menunjukkan komitmen sebenar untuk disiapkan.

Pada masa sama, pemaju yang terus gagal memenuhi obligasi kontrak dan berkanun akan berdepan tindakan mengikut undang-undang.

Di bawah Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013, pemaju yang meninggalkan atau menyebabkan sesuatu pembangunan perumahan atau mana-mana fasa pembangunan terbengkalai melakukan kesalahan dan, jika disabitkan, boleh didenda RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ordinan itu turut memperuntukkan liabiliti terhadap pengarah, pengurus dan pegawai lain yang bertanggungjawab sekiranya syarat perundangan berkaitan dipenuhi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU