KUALA LUMPUR: Sebanyak 62 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) membuka gerai dan mengalu-alukan kehadiran lebih 6,000 pengunjung ke program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 edisi ke-15, esok.

Tinjauan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) mendapati semua agensi masih membuat persiapan bagi memastikan reruai mereka kemas dan bersedia menerima pengunjung.
Menurut Ketua Unit Promosi dan Publisiti LBAS 2024 dan Sukarelawan Exco Sarawak Iona Evinna Khanching Geruka, acara ini terbuka kepada semua khusunya rakyat Sarawak.
Katanya, ia menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, pendidikan, biasiswa dan banyak lagi termasuk pameran produk Sarawak.
“Program yang paling dinanti ialah Inisiatif Kerjaya Kenyalang kerana ia kali pertama diadakan. Mereka akan menyerahkan surat tawaran kerja kepada yang berkelayakan,” katanya.
Program lain yang akan diadakan termasuklah Forum Pelajar Sarawak, Kenyalang Speaks, dan banyak lagi.
Tambah Iona, pihaknya berharap agar orang ramai mengambil peluang keemasan ini untuk menghadiri program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang ini.

