ARTIKEL

TAHAN…Kesemua PATI yang ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuching.

64 PATI berjaya dicekup di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 64 individu ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuching melibatkan lapan lokasi berbeza di sekitar bandar ini pada 20 dan 21 Mei.

TAHAN…Kesemua PATI yang ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuching.

Menurut hantaran Facebook Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Operasi Ops Sapu dan Ops Belanja itu disertai 30 pegawai penguat kuasa, menyasarkan premis-premis yang disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah atau melibatkan aktiviti penyalahgunaan pas imigresen.

“Daripada jumlah yang ditahan, 55 adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita.

“Kesemua mereka dipercayai warga asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” menurut hantaran itu.

Tindakan penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen Malaysia.

Orang ramai diingatkan agar tidak menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan warga asing yang tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah.

“Mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujar kenyataan itu.

Pihak JIM juga menegaskan bahawa mereka akan terus meningkatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Kerjasama orang awam amat diperlukan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing.

Selain itu, JIM Sarawak turut menyeru majikan supaya memastikan semua pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah, serta tidak melibatkan diri dalam aktiviti eksploitasi buruh atau pemerdagangan orang.

Kesemua individu yang ditahan kini sedang disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan dan akan melalui proses dokumentasi serta tapisan sebelum tindakan lanjut diambil.

Operasi seumpama ini dijangka akan diteruskan secara berkala di lokasi-lokasi lain di negeri Sarawak dalam usaha berterusan membanteras kehadiran PATI dan mengekalkan keselamatan awam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU