ARTIKEL

UNIMAS Penuntut B40 Pendidikan Tinggi Inklusif Sesi Pengambilan 2024-2025 Naib Canselor UNIMAS
Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rashid...FOTO GHAZALI BUJANG

65.5 peratus penuntut baharu UNIMAS dalam golongan B40

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 65.5 peratus penuntut baharu yang diterima masuk ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi sesi 2024-2025 merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurut Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rashid, peratusan yang tinggi itu merupakan cerminan komitmen UNIMAS terhadap keadilan sosial.

“Selain, ia menjadi tekad untuk membuka lebih banyak peluang kepada mereka yang memerlukan.

“Dan melalui dasar inklusif yang komprehensif, UNIMAS menjadi jambatan yang menghubungkan impian anak-anak luar bandar dan golongan kurang berkemampuan dengan dunia pendidikan tinggi.

“Sehingga 25 Disember tahun ini, UNIMAS menjadi rumah ilmu kepada 14,073 penuntut prasiswazah yang menimba ilmu di 10 fakulti.

“Lebih membanggakan, 45 peratus daripada jumlah tersebut atau 6,310 penuntut adalah golongan B40.

“Ini bukti nyata, pendidikan tinggi bukan sekadar untuk golongan berada, tetapi juga untuk mereka yang memiliki tekad dan semangat,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Jelasnya, pada sesi pengambilan 2024-2025, daripada 4,357 penuntut baharu yang diterima, 2,855 orang atau 65.5 peratus daripadanya golongan B40.

“Peratusan ini bukan hanya statistik.

Juga, UNIMAS tidak hanya melihat kepada angka.

Sebaliknya, kualiti sentiasa menjadi keutamaan.

“Setiap mereka yang diterima masuk adalah yang terbaik dalam kemampuan masingmasing, dengan potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“UNIMAS yakin bahawa pendidikan tinggi bukan hanya tentang memberikan ilmu, tetapi juga membentuk insan yang mampu membawa perubahan,” ujarnya.

Tambah Dr Ahmad Hata, sebagai sebuah universiti yang menjunjung nilai inklusiviti, UNIMAS akan terus menerajui usaha murni ini dengan visi yang jelas.

“Iaitu fokus untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai platform transformasi, mengangkat martabat keluarga dan komuniti, serta menyediakan modal insan berkualiti untuk memacu pembangunan negara.

“Dengan pendidikan, kita tidak hanya mencipta masa depan individu, tetapi juga masa depan bangsa dan negara.

“UNIMAS berdiri teguh sebagai sebuah institusi yang menjadikan pendidikan tinggi sebagai pemangkin perubahan, bukan sekadar untuk individu, tetapi juga untuk keluarga dan komuniti,” katanya.

Beliau yakin, walaupun 43 peratus penduduknya masih menetap di luar bandar yang luas dan terpencil, UNIMAS percaya impian tidak harus terhalang oleh geografi mahupun kekurangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU