KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) dan Shin Yang Sdn. Bhd. terima Lesen Karbon Hutan (FCL) menerusi Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, LAKIKR menerima lesen bagi projek karbon biru seluas 4,788.2 hektar di Tanjung Manis, Kuala Rajang.
“Shin Yang memperoleh lesen bagi projek di Kawasan Karbon Hutan Jalin seluas 26,353 hektar di Ulu Baram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian Lesen Karbon Hutan kepada LAKIKR dan Syarikat Shin Yang di Bilik Mesyuarat Kafeterian, DUN, di sini, hari ini.

Tambahnya, projek LAKIKR merupakan projek karbon biru pertama di Malaysia yang menerima FCL, sekali gus, mengetengahkan potensi ekosistem hutan bakau Sarawak dalam menyerap karbon, memulihara biodiversiti pesisir pantai dan mengurus sumber secara mampan.
Mengulas lanjut, lesen ini bertujuan memulihara dan menguruskan sumber hutan secara mampan di Sarawak.
“Lesen berkenaan diberikan sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh pemuliharaan hutan, pengurusan hutan mampan dan pembangunan ekonomi hijau,” ringkasnya.
Setakat ini, sebanyak 11 entiti menerima kelulusan bagi menjalankan aktiviti karbon hutan di Sarawak, meliputi kawasan seluas 278,280 hektar.
Daripada jumlah itu, tiga entiti kini memegang FCL dengan keluasan keseluruhan 56,816.2 hektar.
Inisiatif berkenaan menyokong Teras Strategik Empat Belanjawan Sarawak 2027, iaitu Melindungi dan Mengekalkan Sumber Asli, selain selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Projek karbon hutan berpotensi menyediakan insentif tambahan bagi pemuliharaan dan pemulihan hutan, melindungi biodiversiti serta perkhidmatan ekosistem, menarik pelaburan hijau dan mewujudkan peluang kepada komuniti setempat,” katanya.


