ARTIKEL

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar ketika mengumumkan penggantungan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen daripada menghadiri persidangan DUN Sarawak, selepas usul daripada ADUN Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin itu disokong oleh Ahli Dewan. - Gambar Penerangan

Chong Chieng Jen Digantung Hadir Persidangan DUN Sarawak Hingga 21 Oktober


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: ADUN Padungan, Chong Chieng Jen digantung daripada menghadiri persidangan DUN berkuat kuasa mulai hari ini hingga persidangan berakhir pada 21 Oktober nanti.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar mengisytiharkan penggantungan berkenaan selepas usul penggantungan ke atas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu dibahaskan dan melalui proses pengundian.

Proses pengundian bagi penggantungan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen daripada menghadiri persidangan DUN Sarawak. – Gambar Penerangan

Ketika mengumumkan keputusan itu, Asfia berkata usul yang dikemukakan oleh Menteri Pengangkutan yang juga ADUN Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin itu diluluskan selepas mendapat sokongan 62 undi, dengan satu undi menentang dan satu undi berkecuali.

Terdahulu, Kim Shin ketika mengemukakan usul itu berkata Chong telah membuat kenyataan yang dengan sengaja mengelirukan Dewan ketika membahaskan Belanjawan 2027.

Menurutnya, Chong berulang kali menggunakan dan mengulangi sebarang maklumat serta dakwaan yang belum disahkan olehnya, atau kebenaran atau ketepatannya tidak dapat dipertahankan apabila diminta oleh Speaker untuk mengemukakan bukti pengesahan atau justifikasi berkenaan.

Selain itu, beliau berkata Chong menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan dan menghina ahli-ahli dewan serta mengaitkan motif tidak wajar kepada ahli lain atau membuat sebarang kenyataan atau dakwaan yang tidak bersedia untuk dibuktikannya.

“Setiap ahli dewan ini mempunyai hak untuk berucap, mengemukakan soalan, menyatakan ketidaksetujuan dan meneliti tindakan kerajaan. Semua ini merupakan ciri penting demokrasi berparlimen dan mesti dihormati.

“Bagaimanapun, hak tersebut turut disertai tanggungjawab. Setiap ahli hendaklah mematuhi peraturan-peraturan mesyuarat, menghormati kewibawaan speaker serta berhati-hati ketika membuat kenyataan dan dakwaan di dalam dewan ini,” katanya.

Menjelas lanjut, Kim Shin berkata usul itu mengenal pasti Peraturan-Peraturan Mesyuarat 32(4), 32(6), 32(10)(d) dan 32(12) sebagai peruntukan yang didakwa telah dilanggar.

Justeru, tegasnya dewan hendaklah membuat keputusan berdasarkan perkara-perkara tersebut.

“Sekiranya Dewan mendapati perlakuan tersebut terbukti, saya mengemukakan pendirian bahawa penggantungan bagi baki tempoh persidangan adalah wajar bagi menegakkan kewibawaan Speaker serta standard tingkah laku yang diharapkan dalam Dewan ini,” katanya.

Tamat

BERITA LAIN

BERITA TERBARU