SERIAN: Sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bahagian Serian sedang dinaik taraf sebagai langkah proaktif dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam akan datang, khususnya semasa Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan infrastruktur serta memperkukuh sistem sokongan komuniti ketika berhadapan dengan bencana.
Selain itu, katanya, sebanyak 55 cadangan projek berkaitan bencana telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM31.7 juta.


“Projek yang dicadangkan merangkumi kerja-kerja baik pulih di kawasan yang terjejas akibat bencana seperti banjir, tanah runtuh, hakisan serta pokok tumbang.
“Langkah ini dilihat sebagai satu usaha menyeluruh untuk memperkukuh keupayaan tindak balas bencana dan mengurangkan risiko kerosakan pada masa hadapan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu juga berkata demikian semasa Majlis Merun Kasah dan Penghargaan Petugas MTL 2025 di sini, semalam.
Sehubungan itu, tambahnya, bencana kali ini juga amat mencabar kerana berlaku ketika sambutan Tahun Baru Cina.
“Bagaimanapun, tindakan pantas dan kerjasama semua agensi serta komuniti setempat telah memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terpelihara,” ujarnya.
Beliau turut mengiktiraf usaha Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian, bersama pegawai daerah, ketua masyarakat serta para penderma yang memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk sepanjang bencana MTL 2025 yang melibatkan lebih 2,500 penduduk di Serian.
Menurutnya, bantuan dan sumbangan ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah menjadi simbol kemanusiaan serta solidariti masyarakat Sarawak.
Dalam pada itu, sebanyak RM780,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) telah diluluskan oleh JPBN Sarawak untuk disalurkan kepada 780 ketua isi rumah yang berpindah ke PPS antara 28 Januari hingga 6 Februari lalu.
Majlis yang turut menandakan penutupan rasmi sambutan Gawai di Serian itu turut menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin utama negeri termasuk Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, dan ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada.


