BINTULU: Setiap kali menonton persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan menerusi televisyen, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Bandar Bintulu, Slyvester Arrison berasa teruja dengan aksi penari terbabit.
Malah mengimpikan peluang sama untuk dirinya muncul sebahagian daripada penari terbabit, dia tidak betah melepaskan peluang itu pada sambutan Hari Sarawak 22 Julai ini bersama 700 rakan lain.
Meskipun perlu berkorban masa dan tenaga sepanjang dua minggu latihan bermula dari 8 Julai sehingga raptai penuh, pengalaman itu berbaloi kerana dia berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan perarakan itu, katanya.
“Lihat penari mengenakan pakaian berwarna-warni sambil memegang bendera negeri, itu selalu membuatkan diri saya tertanya apa perasaannya berada dalam kelompok itu.
“Tahun ini ibarat rezeki terpijak, saya terpilih menjadi sebahagian penari bagi sambutan Hari Sarawak tahun ini,” katanya.

Menurutnya, satu perkara dia belajar sepanjang latihan ialah komitmen dan disiplin tinggi diperlukan membolehkan dia serta rakannya dapat menari dengan sempurna.
“Saya bernasib baik keluarga memahami serta memberi sokongan sepanjang sibuk dengan persembahan itu.
Saya berharap ramai rakyat akan turun memenuhi Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu menyaksikan secara langsung persembahan kali ini,” katanya.
Slyvester merupakan antara 700 peserta yang terpilih menyertai kelompok penari terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, persatuan, pertubuhan dan kelab kebudayaan termasuk agensi kerajaan sekitar Bintulu di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Pegawai Kebudayaan merangkap koreografer Majlis Seni Sarawak Bahagian Bintulu, Tuah Jili.
Bagi pelajar Tingkatan Dua SMK Bintulu, Angeline Anak Devi pula berkata, debaran makin hebat menjelang 22 Julai ini kerana sebelum ini tiada pengalaman membuat persembahan di khalayak umum apatah lagi sambutan kemerdekaan ini antara acara penting dan terbesar diraikan negeri.
“Saya memang berminat dengan tarian dan apabila terpilih sebagai salah seorang penari, saya begitu teruja.
Waktu itu saya fikirkan ialah pengalaman baharu selain dapat mempelajari koreografi menarik daripada jurulatih utama.

“Boleh dikatakan perasaan berbeza-beza, kerana di sekolah kita berlatih secara rapat dengan guru serta rakan tetapi di sini suasananya berlainan kerana lebih luas dan meriah,” katanya.
Sementara itu guru pengiring SMK Bandar Bintulu, Ambrose Maja, 40, menzahirkan perasaan bangga dengan penyertaan pelajarnya dalam acara sambutan kemerdekaan itu.
“Ini adalah medan terbaik bagi mereka untuk menzahirkan kecintaan terhadap negeri.
Semangat patriotik mereka turut diuji dan disemai melalui komitmen yang padu. Seterusnya menuntut pengorbanan masa dan tenaga menghayati erti kemerdekaan sebenar.
“Saya menyeru pelajar SMK Bandar Bintulu untuk mempamerkan persembahan yang mantap lagi dikagumi. Peluang hanya datang sekali. Gunakannya sebaik mungkin. Ini adalah satu pengalaman yang mahal harganya yang akan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai nostalgia abadi,” katanya.

Pada tahun ini, Bintulu dipilih sebagai tuan rumah penganjuran sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Ini merupakan julung kali sambutan(Hari Sarawak) diadakan di luar bandaraya Kuching dan masayarakat Bintulu seharusnya berasa bertuah dengan pemilihan Bintulu sebagai tuan rumah kali ini.
Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Ketua Menteri Datuk Patinggi(Dr.) Abang Haji Abdul Tahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Juma’ani Tuanku Bujang dijangka menghadiri majlis sambutan perayaan tersebut.