KUCHING: Sebanyak 80 pasukan dari 22 negara membabitkan 2,450 pendayung bakal menyertai Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak ke-12 di Tebingan Sungai Sarawak dari 23 hingga 25 Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penyertaan itu menjadi antara acara utama Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November ini.
“Saya turut dimaklumkan tujuh negara baharu menyertai Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak kali ini iaitu Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico.

“Penyertaan kesemua negara ini mencerminkan keyakinan mereka untuk mengambil bahagian dalam penganjuran acara ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Khamis (1 Oktober).
Abdul Karim berkata, jumlah hadiah wang tunai bagi Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak tahun ini turut meningkat dua kali ganda kepada RM200,000 berbanding RM100,000 tahun lalu.
“Kali ini hadiah wang tunai meningkat dua kali ganda. Peserta yang akan datang ini pun belum tahu hadiah wang tunai sudah meningkat.
“Saya fikir tahun depan akan ada lebih ramai yang cuba datang menyertai Regata Perahu Naga Antarabangsa kita,” katanya.
Menurut Abdul Karim, tujuh kategori dipertandingkan pada edisi kali ini termasuk Terbuka Perdana Antarabangsa 20 pendayung, Terbuka Perdana Antarabangsa 12 pendayung, Campuran Perdana Antarabangsa 20 pendayung, Wanita Perdana Antarabangsa 12 pendayung, Terbuka Kanan Antarabangsa B 12 pendayung, Mangsa Kanser Antarabangsa 12 pendayung dan Lelaki Tertutup Malaysia 12 pendayung.
Dua kategori baharu turut diperkenalkan iaitu Lelaki Tertutup Malaysia 12 pendayung dan Terbuka Kanan Antarabangsa B 12 pendayung, dengan kategori kanan membabitkan peserta berusia 50 tahun ke atas.
Sementara itu, Abdul Karim turut memberitahu Sarawak Regatta 2026 yang merupakan acara berasingan daripada Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November dengan 18 acara perlumbaan dalam kategori tempatan dan terbuka.
“Sebanyak 43 perlumbaan keseluruhan akan diadakan termasuk acara saringan dan akhir, dengan acara kemuncak merebut Piala Raja Sungai dijadualkan pada 1 November.
“Pemenang Raja Sungai kategori tempatan akan membawa pulang piala pusingan serta wang tunai RM30,000, manakala jumlah keseluruhan hadiah bagi Sarawak Regatta 2026 ialah RM378,400 termasuk piala dan wang tunai,” katanya.
Menurutnya, kategori tempatan Sarawak Regatta membabitkan sembilan acara termasuk perlumbaan Perahu Bidar 10 pendayung campuran, Bidar 15, 20, 25 dan 30 pendayung lelaki serta beberapa acara Perahu Kenyalang.
Kategori terbuka pula turut mempertandingkan sembilan acara termasuk Perahu Bidar 15, 20, 25 dan 30 pendayung lelaki, selain perlumbaan Perahu Kenyalang dan acara antarabangsa 30 pendayung bagi jarak tiga kilometer.
“Untuk perlumbaan Perahu Bidar, kita menyediakan 18 lorong, manakala Perahu Kenyalang pula 10 lorong.
“Ini bagi memastikan perjalanan perlumbaan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut kategori yang telah ditetapkan,” katanya.
Abdul Karim berkata, dua acara baharu yang diperkenalkan pada Sarawak Regatta 2025 turut dikekalkan tahun ini, iaitu perlumbaan Perahu Kenyalang 10 pendayung lelaki dan wanita membabitkan kakitangan jabatan atau agensi.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan penggunaan jaket keselamatan diwajibkan bagi semua perlumbaan.
“Semua peserta diwajibkan memakai jaket keselamatan dan pengurus pasukan bertanggungjawab memastikan peraturan ini dipatuhi.
“Kalau tidak dipatuhi, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak boleh membatalkan penyertaan,” katanya.
Beliau menambah, majlis simbolik penyerahan pendayung Sarawak Regatta pula dijadualkan berlangsung pada 23 Oktober ini, jam 3 petang dan akan dirasmikan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, acara kemuncak Sarawak Regatta iaitu perlumbaan Raja Sungai dijadualkan berlangsung pada 1 November dan akan disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Fauziah Mohd Sanusi.


