KUCHING: Seramai 800 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sarawak yang dilaporkan tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut, majoriti memilih untuk bekerja bagi menyara keluarga demi kelangsungan hidup.
Menurut Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli, keputusan tidak menduduki peperiksaan bagi semua mata pelajaran itu telah diputuskan lebih awal oleh sebahagian besar pelajar terbabit atas pelbagai faktor termasuk mahu terus bekerja selain menghadapi masalah kesihatan.
“Seramai 32,239 daripada 33,039 calon dari sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sarawak telah menduduki SPM 2024.
“Manakala 800 atau 2.42 peratus calon tidak hadir menduduki peperiksaan semua mata pelajaran yang didaftarkan atas pelbagai sebab.
“Antaranya, ramai memilih untuk bekerja demi menyara kehidupan keluarga masing-masing. Ada juga yang mengalami masalah kesihatan berpanjangan. Namun majoritinya memilih untuk bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan SPM 2024 bagi Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, ujarnya, ketidakhadiran calon SPM itu tidak hanya tertumpu di kawasan luar bandar, sebaliknya turut berlaku di kawasan bandar.
“Sebenarnya masalah ini berlaku di kedua-dua kawasan, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Di bandar, ada pelajar yang sudah mula bekerja dan begitu juga pelajar dari luar bandar yang bekerja di bandar. Jadi isunya lebih kepada peluang pekerjaan yang mereka ambil lebih awal,” jelasnya.
Bagi memastikan para pelajar tidak terus tercicir, beliau memberitahu pihaknya melaksanakan pelbagai bantuan termasuk penginapan di asrama serta sokongan makan dan minum bagi mereka yang menghadapi kekangan kewangan atau logistik.
“Pihak sekolah telah berusaha sedaya upaya untuk membawa kembali calon-calon ini ke sekolah agar mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan.
“Malah ada guru yang sanggup ke rumah, ke tempat kerja, bahkan ke restoran tempat mereka bekerja semata-mata mahu memujuk mereka kembali ke sekolah.
“Ini menunjukkan betapa seriusnya usaha pengetua dan guru-guru kita dalam menangani isu ini,” katanya.
Tambahnya, antara pendekatan yang digunakan termasuklah ziarah cakna, satu usaha bersemuka dengan pelajar dan ibu bapa di rumah untuk mengenal pasti masalah sebenar, serta peranan guru bimbingan dan kaunseling dalam menyampaikan mesej tentang pentingnya pendidikan untuk masa depan.
Sementara itu, keputusan Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2024 Sarawak yang mencatatkan 4.84 merupakan terbaik sejak mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah disyaratkan sebagai subjek wajib lulus SPM mulai 2013.

