ARTIKEL

Jerip (dua kiri) menyampaikan replika lesen memandu motosikal B2 kepada penerima sambil disaksikan hadirin lain. Foto: Levrone Aigle

808 penerima terima lesen motosikal B2 di Padawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Bantuan mendapatkan lesen motosikal pada kos minimum membuka lebih banyak peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk bergerak, membantu keluarga dan mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata, pemilikan lesen motosikal yang sah bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah memberi peluang kepada golongan muda untuk meningkatkan mobiliti dan mencari pekerjaan.

Menurutnya, Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 akan diteruskan menerusi kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk pelaksanaannya dalam skala yang lebih kecil di kawasan lain.

“Apabila mereka mendapat lesen motosikal, mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk bergerak, membantu keluarga dan mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, perkara yang lebih penting ialah memupuk disiplin dalam kalangan mereka supaya bertanggungjawab ketika berada di jalan raya serta mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Jerip (lima kiri) bersama hadirin lain merakam foto bersama penerima Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2. Foto: Levrone Aigle

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen Puncak Borneo di Pusat Acara Kasah, Tabuan Rabak, di sini, hari ini.

Mengulas cadangan memperluaskan bantuan itu kepada lesen memandu kereta, Jerip berkata, perkara berkenaan bergantung kepada dasar Kerajaan Persekutuan memandangkan bidang pengangkutan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan berkenaan.

Katanya, sebarang peluasan program perlu mengambil kira dasar dan keputusan di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan Sarawak turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.

Jerip (tiga kiri di hadapan) bersama hadirin lain merakam foto bersama 808 penerima Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2. Foto: Levrone Aigle

Antaranya termasuk program T-ABC (Transport Awareness Behaviour Change) yang memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku serta penggunaan permainan trafik bagi mendidik murid sekolah rendah mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.

Jerip berkata, bantuan lesen motosikal diberi keutamaan kerana ia antara keperluan asas golongan muda untuk mendapatkan kemudahan pergerakan, selain menjadi langkah awal mendidik mereka tentang tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.

Beliau turut mengingatkan penerima supaya mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal, termasuk memakai topi keledar yang diiktiraf SIRIM dan memastikan ia dipasang dengan betul.

Program berkenaan hasil kerjasama antara JPJ Sarawak, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P198 Puncak Borneo dan Institut Memandu Liamarc Sdn Bhd.

Seramai 808 peserta berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi program berkenaan selepas melepasi tapisan serta ujian yang ditetapkan JPJ Sarawak.

BERITA LAIN

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri

BERITA TERBARU

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri