TATAU: Sebanyak 830 benih ikan baung dilepaskan ke Sungai Sap, Tatau bagi menambah stok ikan dan menyokong pemuliharaan sumber perikanan air tawar, sekali gus memastikan kelestarian ekosistem sungai untuk manfaat masyarakat setempat.
Inisiatif menerusi Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu itu turut disertai taklimat penangkapan ikan secara terlarang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan melindungi habitat akuatik.
Simbolik perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Jackson Nanta Bernabas Baie dan turut dihadiri kakitangan jabatan itu serta pemimpin masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, Jackson berkata sungai bukan sahaja menjadi sumber makanan, malah turut menyumbang kepada pendapatan dan kehidupan harian masyarakat setempat.
Beliau berkata usaha menjaga kebersihan sungai dan memelihara habitat hidupan akuatik perlu menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan sumber perikanan terus terpelihara.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mematuhi peraturan penangkapan ikan yang ditetapkan serta mengelakkan penggunaan kaedah yang boleh merosakkan habitat dan mengancam populasi hidupan akuatik.
Menurutnya, pemeliharaan ekosistem sungai penting bagi memastikan sumber semula jadi berkenaan dapat dimanfaatkan secara berterusan, termasuk oleh generasi akan datang.


